PETALING JAYA : Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya telah menjalankan serbuan ke atas sebuah syarikat milik seorang Datuk Seri bagi membantu siasatan berkaitan isu kemasukan pekerja asing.
Azam ketika dihubungi Utusan Malaysia, serbuan yang dijalankan kelmarin turut memanggil ahli perniagaan yang juga pemilik syarikat bergelar Datuk Seri.
“Setakat ini, saya mengesahkan kita sedang menjalankan siasatan berhubung syarikat itu yang mengendalikan pengambilan pekerja asing dari Bangladesh serta terbabit dalam membangunkan satu sistem pendaftaran pekerja asing.
“Pada masa ini tiada tangkapan dilakukan dan kita akan memanggil mana-mana individu yang mempunyai kaitan dengan siasatan kita dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, berdasarkan laporan Portal di Bangladesh The Business Post menyatakan SPRM menyerbu syarikat berkenaan di Selangor dan Kuala Lumpur namun belum ada sebarang tangkapan dilakukan.
Ahli perniagaan terbabit dipercayai menjalankan urusan berkaitan pendaftaran pekerja asing serta dilaporkan mengawal 25 agensi pengambilan pekerja asing dari Bangladesh yang baru-baru ini dipilih untuk pengambilan pekerja asing masuk ke negara ini. -UTUSAN










