Sophia Koshka sorok hal peribadi - Utusan Malaysia

Sophia Koshka sorok hal peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini, isu dikongkong pihak pengurusan pernah terpalit pada pelakon, Hannah Delisha.

Bernaung di bawah syarikat yang sama, Prodigy Syndrome Management, pelakon baru, Sophia Koshka Albarakbah, juga tidak terkecuali.

Entah mengapa, pelakon ini juga terkena dengan persoalan yang sama sementelah Sophia mengaku, dia bukanlah seorang artis yang gemar berkongsi cerita peribadi.

Jawapan itu jugalah yang diucapkan oleh Hannah ketika pernah ditemu bual media tempatan sebelum ini. Maka disebabkan itu tidak hairanlah mengapa Sophia juga terpalit dengan sangkaan yang sama.

“Saya ini bukanlah nak sorok apa-apa. Cuma saya ini bukan orang yang suka berkongsi hal peribadi. Tak kisahlah pasal dirikah, atau hal keluargakah, saya lebih suka simpan sendiri. Kalau orang nak tahu pasal kerjaya atau kejayaan saya okey.

“Jangan salah faham, ini semua adalah keputusan saya sendiri. Tak ada kena-mengena dengan pihak pengurusan. Sebenarnya, tak pernah sekali pun pihak pengurusan mencampuri urusan peribadi saya.
“Baik nak bercintakah, nak berkahwinkah.Nak dedahkan siapa teman lelaki atau tidak, itu semua terpulang kepada saya,”katanya.

Menurut pelakon berusia 29 tahun ini, sifatnya yang pendiam atau introvert membuatkan orang lain sukar untuk menembusi isi hatinya dan begitu juga dengan soal cinta.

“Ada yang pernah bertanya pada saya, tak adakah yang cuba memburu cinta? Saya ini pula bukan jenis nak sorok-sorok kalau bab bercinta. Bagi saya, kalau saya nak dedahkan siapa pasangan saya, mungkin jika sudah sah bernikah nanti.

“Selagi belum berkahwin, tak nak dedahkan dengan siapa saya berkawan. Iyalah, benda tak pasti, buat apa nak canang-canangkan, betul tak?. Susah nak cakap bab teman ini sebab percaya atau tak, saya ini pun jenis suka duduk rumah kalau tak ada kerja.

“Amat jarang bersosial. Tak ada peluang nak pergi berparti atau apa, memang saya macam itu,”katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada dia selesa sering disamakan dengan cara Hannah Delisha, Sophia bagaimanapun tidak tersinggung.

Katanya, sebagai artis yang bernaung di bawah syarikat pengurusan yang sama, sudah tentu dia saling menyokong dan kebetulan, sangat menghormati pelakon tersebut.

“Kalau disamakan, tak marah pun sebab dia pun seorang wanita yang cantik. Saya pun pernah kerja dengan dia. Hannah pun sangat baik dan manis orangnya. Tapi kami berdua ini adalah individu yang berbeza,”katanya.

Pun begitu, kata Sophia, dia tidak selesa andai ada yang cuba melaga-lagakan dirinya dengan Hannah memandangkan selama ini hubungan yang baik telah terbina antara mereka.

“Dalam industri, kita jangan rasa persaingan. Jangan saling menjatuhkan. Saya kalau boleh, nak sama-sama naik dengan rakan-rakan artis lain.

“Kalau naik dan berjaya, kita kena saling sama-sama gembira dan saling menyokong,”katanya.

Saya tak cari populariti

Bersyukur kerana bakatnya dalam dunia seni lakon semakin diterima ramai, Sophia, bagaimanapun tidak mahu berasa tersaingi dengan bakat-bakat baru yang semakin ramai mewarnai dunia seni.

“Baguslah ramai heroin yang muncul dalam industri sekarang. Kagum dengan semua bakat-bakat baru sekarang yang bagi saya, berpotensi sebagai pelapis dalam dunia seni lakon.

“Tapi saya faham, ada kala ada yang belum dapat menyerlah dengan cepat. Saya pun tiga tahun baru orang nak kenal. Tapi saya bersyukur kerana ia sebahagian daripada proses belajar.

“Saya percaya, setiap orang ada masa mereka. Apa yang penting, kena usaha dan jangan putus asa. Kita buat sahaja yang terbaik untuk hasil kerja kita,”katanya.

Dalam pada itu, Sophia juga mengaku tidak mensasarkan diri untuk menjadi popular kerana baginya jika terkenal dengan kontroversi atau cerita yang tidak manis, ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Kata wanita ini, selagi boleh, dia mahu menjaga keperibadian dan kelakuannya sepanjang berada dalam industri lantaran enggan nama baik keluarga tercemar dengan kisah-kisah negatif tentangnya.

“Sasaran saya dalam industri, bukanlah populariti. Saya pun dah beritahu tadi yang diri ini seorang introvert, pemalu. Kalau ikutkan, saya ini takut-takut nak berkomunikasi dengan orang disebabkan sifat malu itu.

“Tapi saya perlu berusaha untuk tukar diri jadi seorang yang disenangi apabila ditemu bual. Banyak dah berubah sebenarnya berbanding sebelum ini. Kalau dulu, lagilah saya diam. Senyum saja.

“Kalau boleh, saya memang nak bawa diri sebagai seorang artis yang menjaga keperibadiannya. Cuma keluar cerita yang baik-baik saja. Tak naklah keluarga sedih bila terbaca cerita negatif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.