GUA MUSANG : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Gua Musang membuat sekatan jalan raya (SJR) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam usaha membendung ketirisan barang kawalan di pintu masuk negeri ini Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di Stesen Timbang JPJ, Tanah Putih di sini, semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Gua Musang, Mohd. Koma Shapii berkata, sekatan itu melibatkan pemeriksaan ke atas barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta yang dikuatkuasakan KPDNHEP.
“Selain itu, kita turut mengadakan pemeriksaan ke atas kenderaan perdagangan yang melalui SJR semasa operasi dijalankan.
“KPDNHEP Cawangan Gua Musang sentiasa bekerjasama dengan semua agensi bagi membanteras ketirisan barang kawalan melalui pintu masuk negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Koma memberitahu, hasil daripada operasi itu, satu kes telah diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan untuk siasatan di bawah kesalahan gagal mengemukakan dokumen atau permit pemilikan barang kawalan diesel.
“Sebanyak 600 liter diesel bersama trak pikap jenis Toyota Hilux telah disita untuk siasatan lanjut.
“Anggaran nilai sitaan diesel ialah sebanyak RM1200 dan nilai kenderaan RM10,000,” ujarnya.
Mohd. Koma berkata, pihaknya akan sentiasa mengadakan SJR lebih kerap bersama agensi penguatkuasaan daripada semasa ke semasa selepas ini. -UTUSAN










