JOHOR BAHRU: Kegiatan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi yang cuba mengaut keuntungan dengan memproses dan mengisi semula produk itu ke dalam botol di stor sebuah kedai di Endau, Mersing, terbongkar, Rabu lalu.
Dalam serbuan pukul 7.15 itu, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai pemandu lori di kawasan premis tersebut.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, premis tersebut dijadikan stor penyimpanan dan mengisi semula minyak masak ke dalam botol pelbagai jenis yang dijual pada harga bermula RM11.
Hasil risikan, pihaknya telah melakukan serbuan dan merampas sebanyak 4,012 bungkus minyak masak bersubsidi bernilai RM10,030.
“Polis masih menyiasat bagaimana bekalan minyak masak diperoleh. Minyak masak bersubsidi ini dibotolkan semula untuk dijual semula pada harga yang lebih tinggi.
“Minyak masak ini sepatutnya diedarkan ke kedai-kedai bagi memenuhi keperluan pembeli, khususnya golongan B40. Tindakan ini adalah satu pengkhianatan terhadap negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya juga akan menyiasat senarai nama pengusaha kedai runcit yang sepatutnya menerima bekalan minyak masak bersubsidi tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan suspek diserahkan kepada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor. – UTUSAN