PETALING JAYA: Satu sindiket pengedaran dadah yang turut terlibat dengan kumpulan kongsi gelap tumpas susulan penahanan empat suspek dalam tiga serbuan di sekitar Lembah Klang.
Hasil serbuan itu juga, pelbagai dadah bernilai RM1.06 juta dirampas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pada mulanya, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun di kawasan tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Bukit Segambut, dekat sini, kelmarin.
Kata beliau, dalam serbuan itu, sebanyak 3,000 pil ekstasi bernilai RM60,000 dan wang tunai RM500 ditemukan di dalam kenderaan di kawasan letak kereta terbabit.
“Dalam serbuan kedua pula, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan letak kereta di sebuah kompleks beli-belah di Dutamas.
“Kami merampas 10.14 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM25,350 yang ditemukan di dalam kereta dinaiki suspek,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Azmi, pihaknya kemudian menahan dua lelaki masing-masing berusia 29 tahun dan 31 tahun dalam serbuan ketiga di sebuah unit kondominium di Ampang, Selangor, semalam.
Jelas beliau, sebanyak 142.02 kg dadah jenis ganja bernilai RM355,050, 15.12 kg dadah jenis syabu (RM544,320) dan 785 gram dadah jenis heroin ‘base’ (RM71,000) selain satu pistol jenis revolver bersama sembilan peluru hidup dirampas.
“Keseluruhan rampasan dadah boleh dibekalkan kepada 300,000 penagih dadah.
“Kita percaya bekalan ganja itu dipercayai diperoleh dari utara Semenanjung,” jelasnya.
Tambah beliau, sindiket itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak lima bulan lalu dengan menjadikan kondominium yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Semakan dilakukan mendapati suspek berkenaan turut terbabit dengan kumpulan kongsi gelap dipercayai Geng 36 dan Geng 24.
“Tiga daripada empat suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah berkaitan pergaduhan. Selain itu, dua suspek mempunyai rekod berkaitan kes bunuh,” jelasnya.
Kata Azmi, pistol jenis revolver serta sembilan peluru hidup yang dirampas dalam serbuan itu dipercayai digunakan oleh sindiket ini untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah serta kongsi gelap.
Menurutnya, hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan terhadap keempat-empat suspek mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis ganja.
“Semua suspek direman tujuh hari sehingga 12 Julai ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjatapi 1960,” katanya.
Dalam pada itu, Azmi menegaskan, Polis Kuala Lumpur sedang mengatur beberapa tindakan aktif bagi memerangi dadah di ibu negara.
“Namun kebelakangan ini, kita mendapati kegiatan pengedaran dadah di Kuala Lumpur dilakukan pihak yang juga terbabit dalam aktiviti kongsi gelap.
“Dalam beberapa minggu ini, kami turut merampas beberapa pistol daripada kumpulan kongsi gelap yang aktif melakukan pengedaran dadah.
“Bermula awal tahun ini hingga hari ini (semalam), sebanyak lima senjata api pelbagai jenis dirampas,” katanya.
Justeru, beliau berharap masyarakat dapat membantu menyalurkan maklumat bagi membolehkan polis melakukan tangkapan dan rampasan dalam usaha memerangi aktiviti penyalahgunaan dadah. – UTUSAN











