Sindiket emas palsu perdaya wanita

Sindiket emas palsu perdaya wanita

Berhati-hati apabila membeli emas terutama secara dalam talian bagi mengelakkan terbeli emas palsu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket pen­jualan emas palsu pada harga emas tulen kini berleluasa di pasaran tempatan termasuk berselindung di sebalik jenama ter­kenal dengan memperdayakan ribuan pembeli wanita.

Difahamkan, ramai pembeli mengadu mengenai perkara ini di media-media sosial dan ada yang membuat laporan polis kerana kecewa apabila tidak dapat menjualnya pada harga asal, malah ditawarkan pada kadar lebih murah.

Ini berikutan wujud sindiket penjualan emas palsu di kedai-kedai emas tempatan yang berselindung di sebalik jenama ter­kenal.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniaga­an Emas dan Permata Malaysia (FGJAM), Datuk Chiah Hock Yew Pkt berkata, isu penjualan emas palsu banyak berlaku di media sosial apabila pembeli membuat transaksi dalam talian seterusnya menerima emas palsu atau tidak menerima langsung barangan tersebut.

“Kami sedar akan isu ini dan harap pembeli lebih peka sebelum melakukan pembelian de­ngan mengesahkan dahulu kesahihan syarikat dan barang tersebut.

“Syarikat yang memeriksa kualiti emas, Fedmas Assay Office Sdn. Bhd. (FEDMAS) yang di­sahkan oleh Ins­titut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), akan memberi sijil kepada penjual emas tulen, pembeli boleh meminta penjual untuk menunjukkan sijil sebelum me­lakukan pembelian,” katanya.

CHIAH HOCK YEW PKT

Chiah berkata, FGJAM yang mempunyai 18 cawangan di seluruh negara tidak pernah menerima rungutan daripada mana-mana cawangan mengenai emas palsu selain menjamin emas di bawah syarikat yang berdaftar dengan persatuan adalah tulen kerana melalui ujian makmal FEDMAS.

Harga emas 916 setakat hari ini adalah RM245.21 satu gram, naik sebanyak 39 sen berban­ding harga emas semalam iaitu RM244.84 satu gram.

Isu penjualan emas palsu dengan harga emas tulen berleluasa dalam media sosial menjadikan ramai pembeli dan pelabur kecewa dan merungut mengenainya.

Mac lalu, seorang wanita mengadu dalam akaun laman Tik Tok bahawa dia kecewa apabila emas 916 tulen miliknya dikatakan palsu oleh pekerja kedai dan memintanya merujuk semula ke kedai pembelian asal.

Timbalan Presiden FGJAM, Pang Ann Puo berkata, pembeli harus mengelakkan pembelian dalam talian sekiranya penjual terlibat tidak mempunyai kedai emas fizikal untuk membuat pembelian atau lawatan susulan sekiranya timbul masalah.

“Kami menggalakkan pembeli menyemak butiran syarikat di laman Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memastikan kesahihan syarikat.

“Bukan semua syarikat emas di Malaysia adalah bawah FGJAM kerana tiada arahan daripada kerajaan ia harus didaftarkan bawah kami. Namun, syarikat di bawah kami boleh dipercayai kerana berdaftar dengan SSM. Kami juga membuat lawatan tapak dan mempunyai hubungan rapat dengan ahli-ahli persatuan,” katanya.

“Bagi mengatasi isu ini, Malaysia mempunyai Jabatan Standard Malaysia (DSM) bagi memeriksa standard kehalusan emas. Contohnya, kehalusan emas adalah 999, 950, 916.6, 875, 835, 750, 585 dan 375.

“Selain itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) turut akan membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti produk,” katanya.

Ann Puo berkata, walaupun industri emas ini mempunyai keselamatan yang tinggi, pembeli tetap harus bijak apabila melakukan pembelian emas dan tidak digalakkan untuk melakukannya dalam talian.

“Saya tidak boleh jamin isu ini dapat diselesaikan kerana harga emas yang kekal tinggi. Jadi golongan yang menipu akan sentiasa ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN