Silat Dunia: Silat artistik sumbang tiga pingat emas

Silat Dunia: Silat artistik sumbang tiga pingat emas

SAZZLAN Yuga (kiri) dan Mohd. Taqiyuddin Hamid memenangi pingat emas Kategori Ganda Lelaki di Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di MITC, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tujuh pingat emas yang disasarkan kontinjen silat negara semakin hampir dicapai selepas silat artistik menyumbang tiga daripadanya pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini malam tadi.

Daripada enam kategori yang menempah tempat ke peringkat akhir, tiga daripadanya menyumbang emas dan tiga lagi memperoleh perak.

Keseluruhannya setakat semalam, Malaysia memperoleh tiga emas diikuti Indonesia (dua), Singapura (dua) dan Thailand (satu).

Pingat emas pertama disumbang menerusi Kategori Ganda Lelaki melalui penyandang acara itu pada Kejuaraan Dunia 2018 di Singapura, Mohd. Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga menewaskan gandingan Almohaidid E. Abad dan Alfau Jan E. Abad dari Filipina.

MOHD. ALI Mohd. Rustam (depan, kiri) dan Megat Zulkarnain Omardin bergambar bersama semua pemenang emas Kejuaraan Silat Dunia Ke-19 di MITC, Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Gandingan negara memperoleh 9.950 mata manakala pasangan adik-beradik itu pula mendapat 9.930 mata.

Sazzlan berkata, beliau berpuas hati kerana dapat menyumbang emas pertama negara serta berjaya mempertahankan gelaran yang disandang di Singapura.

“Kami memang menjangkakan untuk menang kerana kelebihan menggunakan parang dalam rutin terakhir selepas tangan kosong dan lawan kayu panjang.

“Kami mengambil risiko menggunakan parang kerana jika patah atau salah seorang daripada kami luka di jari serta berdarah, wasit boleh membatalkan persembahan serta memberi kemenangan kepada pihak lawan,” katanya selepas pertarungan.

Dalam pada itu, trio negara, Muhammad Syafiq Ibrahim, Nashrul Edam Mohd. Asri dan Luqman Laji menyumbang pingat kedua menewaskan Anggi Faisal Mubarok, Asep Yuldan Sani dan Rano Slamet Nugraha dari Indonesia 9.965-9.950 mata dalam Kategori Regu Lelaki.

MERRYWATI Manuil memenangi pingat emas   Solo Kreatif. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Pingat emas ketiga negara menyusul menerusi Merrywati Manuil yang menewaskan Puspa Arumsari dari Indonesia 9.950-9.910 mata bagi Kategori Solo Kreatif Wanita.

Pingat perak pula disumbang Nur Syafiqah Hamzah bagi Kategori Tunggal Wanita, Mohd. Shukrillah Badrilah dalam Kategori Solo Kreatif Lelaki dan pesilat dari Ranau, Sabah, Lukman Laji menerusi Kategori Tunggal Lelaki.

Majlis penyampaian pingat kepada pemenang telah disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam. Hadir sama Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya