[SIDANG DUN] 22 lokasi di jalan masuk ke Kelantan perlu dibaiki - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN] 22 lokasi di jalan masuk ke Kelantan perlu dibaiki

AZAMI MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengakui terdapat 22 lokasi jalan utama di negeri ini perlu diselenggara bagi memberikan keselesaan kepada pengguna membabitkan peruntukan berjumlah RM20.55 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd. Nor berkata, penyelenggaraan 22 lokasi melibatkan tiga jalan utama yang merupakan pintu masuk ke negeri ini iaitu Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Jalan Gua Musang-Kota Bharu dan Jalan Gerik-Jeli.

Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan mengesahkan terdapat 16 lokasi kerosakan telah dikenal pasti di Jalan Gua Musang-Kota Bharu dengan anggaran kos pembaikan sebanyak RM14.90 juta bagaimanapun hanya tiga lokasi yang diluluskan membabitkan perbelanjaan RM2.55 juta.

“Bagi jalan masuk ke Kelantan melalui Terengganu, tujuh lokasi kerosakan dengan anggaran kos pembaikan sebanyak RM5.75 juta dipohon, namun kelulusan diperoleh hanya satu lokasi dengan peruntukan sebanyak RM850,000.

“Jalan masuk ke Kelantan melalui Gerik, sebanyak lapan lokasi kerosakan dengan kos sebanyak RM8 juta dipohon tetapi kelulusan yang diperoleh melibatkan lima lokasi dengan jumlah peruntukan RM4.7 juta,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai perancangan kerajaan negeri memperbaiki jalan-jalan yang rosak di pintu masuk ke Kelantan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

ADUN Kadok itu memberitahu, kerja-kerja penyelenggaraan ini telah diletakkan di bawah Syarikat Konsesi Roadcare (M) Sdn. Bhd.

Katanya, tumpuan turut diberikan kepada jalan-jalan sedia ada yang terlibat dengan projek menaik taraf atau pembesaran.

“Projek Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) yang dikenal pasti penyumbang kepada kerosakan jalan di Gua Musang yang tular juga diambil tindakan dengan memastikan kontraktor membaiki jalan-jalan tersebut.

“Usaha ini telah berhasil di mana pembaikan jalan yang terlibat dengan projek CSR dibaiki menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lepas,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN