PASIR SALAK: Siasatan perlu dijalankan bagaimana tanah yang diteroka penduduk dengan tanaman kelapa sawit di Kampung Air Tenang, Tukang Sidin di sini diluluskan penjualannya kepada sebuah syarikat bukan Melayu.
Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, tanah itu berkeluasan 62 ekar diteroka dan diusahakan penduduk kampung dengan tanaman kelapa sawit sebagai punca pendapatan mereka sejak hampir 20 tahun lalu.
Beliau berkata, namun baru-baru ini, penduduk yang meneroka tanah itu termasuk yang membina rumah di situ mendapat perintah mahkamah agar mengosongkan rumah dan keluar dari tanah tersebut kerana tanah itu sudah dijual kepada sebuah syarikat.
Katanya, tindakan menghalau peneroka dari tanah itu tindakan kejam kerana mereka sepatutnya dibela.
“Saya pelik sebab tanah ini difahamkan berstatus Tanah Rizab Melayu. Bagaimana Tanah Rizab Melayu yang diberikan kepada sebuah anak syarikat kerajaan negeri boleh diberikan kepada syarikat, yang mana hasil semakan kita di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat itu seratus peratus milik bukan Melayu.
“Saya mahu perkara ini disiasat dan saya akan kumpul maklumat kes ini dan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika bertemu peneroka yang diarah mengosongkan kediaman dan tanah yang mereka teroka di Kampung Air Tenang, Tukang Sidin, di sini hari ini.
Hamidah berkata, tindakan menghalau peneroka itu satu tindakan kejam kerana ada di antara mereka yang tidak mempunyai rumah lain untuk berteduh.
Katanya, penduduk mengusahakan tanah antara empat atau lima ekar setiap sorang sebagai punca pendapatan di tanah yang mereka teroka itu.
“Mereka bukan berusaha untuk kaya raya, mereka usahakan sebuah tapak empat lima ekar sebagai punca pendapatan.
“Kawasan ini pun bukan di tengah bandar, tiada bekalan elektrik atau air, mereka duduk di sini lebih kurang lima rumah dan hari ini mereka terpaksa keluar dari sini dan tak tahu hendak pergi ke mana,” katanya.
Katanya, beliau difahamkan tanah ini diluluskan kepada sebuah syarikat kerajaan negeri pada tahun 2012 dan dijual kepada sebuah syarikat pada tahun 2016.
Katanya, sepatutnya wakil rakyat kawasan ini melihat dan memberi pandangan mengenai penjualan tanah itu kepada syarikat.
“Saya hendak tanya apa peranan kerajaan negeri dan peranan wakil rakyat kawasan ini yang juga merupakan exco kerajaan negeri untuk membela rakyat? Apabila tahu tanah ini hendak dijual, kenapa wakil rakyat berkenaan tidak mempertahankan rakyat kawasannya?
“Sepatutnya dia bertanggungjawab, jadi saya nak minta peneroka tanah ini pergi jumpa dengan wakil rakyat ini, tanya dia, apa sebenar isu ini, jangan dia diam membisu,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini menyiarkan rintihan seorang peneroka di tanah itu yang buntu memikirkan nasibnya setelah tanah didudukinya sejak lebih 20 tahun lalu dijual kepada sebuah syarikat.
Mohamad Anuar Arshad, 56, berkata, dia tidak tahu hendak pindah ke mana kerana tiada rumah lain selain tiada sebarang pampasan dibayar kepadanya. – UTUSAN










