SHAH ALAM: Dakwan Stadium Shah Alam mahu diroboh dan digantikan dengan stadium berkapasiti sederhana membawa kepada persoalan keraguan terhadap keupayaan pentadbiran dan pengurusan kewangan serta aset-aset di bawah kerajaan negeri.
Ini kerana terdapat aset dan projek kerajaan negeri didakwa gagal diuruskan dengan baik seperti Hotel Carlton dekat sebelah Pusat Akuatik di Seksyen 13 dan Yayasan Selangor yang mempunyai pelbagai aset termasuk di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Malah, bangunan Plaza Perangsang juga sedang dalam proses jualan apabila menara yang menjadi tumpuan pemandangan dekat Pusat Bandar Shah Alam di Seksyen 14 itu diiklankan dalam sebuah laman web sejak 2020 untuk dijual pada harga RM80 juta.
Perkara tersebut pernah dibangkitkan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Rizam Ismail yang pernah mendakwa negeri ini sebagai terkaya apabila baru-baru ini Jabatan Perangkaan melaporkan Selangor kekal penyumbang terbesar ekonomi negara dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM343.5 bilion.
Malah, perolehan negeri itu juga dilaporkan meningkat sebanyak RM16.4 bilion berbanding RM327.1 bilion pada 2020 sekali gus menyaksikan Selangor merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak lima peratus berbanding negatif 5.2 pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, berdasarkan keadaan aset-aset termasuk Stadium Shah Alam, beliau menggesa kerajaan negeri menyenaraikan jumlah aset yang masih dimiliki dan dijual.
Menurutnya, kerajaan negeri juga perlu menjelaskan alasan penjualan dan kegagalan pengurusan aset yang dikatakan dibina sepanjang Barisan Nasional (BN) menerajui Selangor sehingga 2008.
“Saya dahulu jadi Menteri Besar, saya hendak tahu apa aset-aset Selangor yang dijual dan sebab. Senaraikan aset-aset yang dipegang oleh kerajaan negeri pada suatu masa dahulu yang hari ini tiba-tiba dijual, kita hendak tahu. Apa justifikasinya.
“Apa perancangan kerajaan negeri untuk memajukan Melayu bandar atau The Urban Malays. Apa blueprint di peringkat profesional, pertengahan dan bawahan seperti pekerja hotel, tukang cuci. Semua kena import, dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Filipina,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Malah, beliau juga mempersoal status aset-aset ladang atau hartanah milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang dikatakan berjumlah kira-kira 5,666 hektar di seluruh negeri.
“Siapa yang menjual banyak aset-aset kerajaan negeri sekarang? Itulah, mengapa dijual semuanya. Saya beri tanah kepada PKPS 14,000 ekar (5,666 hektar) supaya menjadi hab pengeluaran makanan seperti buah-buahan dan sayur. Merata-rata tempat di Puchong dan sebagainya.
“Habis, mereka jual, sekarang jual bangunan pula, apa yang tinggal, seluar dalamlah esok. Malulah, patutnya menambah bukan menjual. Seperti pejabat (bangunan) Yayasan Selangor, itu semua dibina pada zaman saya.
“Sekarang ini semua hendak dijual, orang dahulu boleh buat, apa masalah budak muda sekarang? Dulu pun saya muda. Dulu kita membanyak, membina, memajukan, sehingga banyak penghijrahan orang ke Selangor,” tegasnya.
Rabu lalu, akhbar ini melaporkan tindakan kerajaan negeri yang dijangka berbelanja lebih RM350 juta untuk meroboh dan membina stadium baharu di Seksyen 13 dan pembinaan keseluruhan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) diibaratkan seperti ‘ada udang di sebalik batu’.
Ini kerana Stadium Shah Alam itu hanya memerlukan perbelanjaan sekitar RM50 juta untuk dibaik pulih dan diselenggara. Malah dengan peruntukan tersebut aset-aset di bawah kerajaan negeri dan anak syarikatnya juga boleh diurus dengan baik.
Dalam pada itu, Muhammad yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali menjelaskan Selangor sebagai sebuah negeri elit yang mempunyai ramai kepakaran profesional boleh membantu mengurus dan mentadbir negeri dengan baik.
“Jutawan-jutawan pencen pun duduk sini, semua Ketua Setiausaha Negara (KSN) pencen duduk sini. Semua bekas Ketua Polis Negara (IGP) pencen duduk sini, so we have the best brains, mereka mana balik kampung.
“Selangor jadi macam sangkar emas negara. Kita serap pemain bola sepak, pemain sukan, otak yang baik-baik semua profesor dekat universiti yang ada berbelas ribu semua menetap di sini (Selangor). Jadi, we have the best brains, skills,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari secara ringkas menafikan Plaza Perangsang itu dijual, sebaliknya masih kekal milik Kumpulan Perangsang.
“Tidak (dijual) masih lagi milik Perangsang, saya sudah semak,” katanya. – UTUSAN










