Sekolah pondok sebar ekstremis? - Utusan Malaysia

Sekolah pondok sebar ekstremis?

Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 400 sekolah pondok di negara ini dilihat berpotensi menjadi pusat penyebaran fahaman ekstre­mis­­me membabitkan tenaga pe­ngajar dan pelajar.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, paling membimbangkan sekiranya sesebuah ­institusi dibiar tanpa pemantauan daripada pihak kerajaan.

Malah, menurut beliau, sesebuah sekolah pondok sepatutnya diberi panduan dan diaudit berkala serta mempunyai silibus mata pelajaran ditetapkan bagi mengelakkan ia terpesong.

“Dalam keadaan sekarang, sama ada berdaftar atau tidak, semua berpotensi (menjadi ekstremis). Sebab apa ? Sebab tiada silibus yang jelas. Tiada siapa yang audit. Sekolah pondok ini ibarat satu daerah yang dibiarkan oleh semua orang.

“Pondok ini perlu diberi perhatian kerajaan dan diberi perhatian khusus sebab mereka tiada sistem untuk memba­ngunkan institusi berkenaan. Kadangkala ada yang sampai terpaksa minta sedekah pula. Itu yang jadi ekstremis. Sekolah pondok perlu dibantu,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Tahun lalu, sebanyak RM60 juta disalurkan kepada 1,066 institusi pendidikan Islam di seluruh negara, termasuk sekolah agama, institusi tahfiz dan pondok bagi tujuan penambahbaikan dan naik taraf sehingga Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM22.3 juta disalurkan kepada 413 institusi tahfiz berdaftar, manakala RM40 juta lagi diagihkan kepada institusi pendidikan Islam.

Sebagai rekod, sistem pe­ngajian di sekolah pondok terbahagi kepada tiga peringkat iaitu permulaan, pertengahan dan tinggi dengan membabitkan beberapa mata pelajaran antaranya nahu, saraf, fikah, tauhid dan sirah.

Dalam pada itu, Mahmood Zuhdi berkata, sekolah pondok dalam masa yang sama perlu diberi ruang untuk berada dekat dengan arus perdana.

“Majlis agama Islam patut jaga dan bukannya biarkan mereka begitu sahaja. Di negeri tertentu, banyak sekolah pondok. Malah, ada ibu bapa yang berfikiran untuk hantar anak ke sekolah pondok untuk selamatkan mereka yang kurang pengetahuan agama. Secara peribadi, saya fikir tidak menjadi masalah.

“Tetapi, kita dalam masa yang sama perlu fikir ke mana mahu dibawa pelajar-pelajar ini kemudiannya. Perlu diingat kita tidak lari daripada garis untuk meneruskan perjuangan pasca kemerdekaan.

“Sekarang ini, kita perlu bertembung dengan satu realiti bahawa kita akan kehila­ngan otak dan akal fikiran yang mampu bangunkan ekonomi dan negara,” ujarnya.

Tambah Mahmood Zuhdi, institusi pondok juga perlu diberi pengisian yang lebih supaya hampir dengan arus perdana bagi tujuan membina negara bangsa.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN