‘Saya yatim piatu namun dilimpah kasih sayang abah, mak’ - Utusan Malaysia

‘Saya yatim piatu namun dilimpah kasih sayang abah, mak’

Nik Mohamad Adhar Nik Ismadi menunjukkan wajah abahnya ketika membuat panggilan video ketikadi temu bual MMTV semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Saya anak yatim piatu namun saya tidak pernah rasa saya tiada abah, mak apatah lagi keluarga.

“Hidup saya dilimpah penuh kasih sayang daripada keluarga bapa saudara saya yang saya panggil abah dan ibu saudara saya pula saya panggil mak.”

Itulah antara luahan Pemban­tu Penguat Kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Nik Mohamad Adhar Nik Ismadi, 22, yang tular selepas terjatuh ketika menyertai perbarisan Hari Penguat Kuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang kelmarin.

Ketika terjatuh, bapa saudaranya, Abdul Aziz Ya’acob, 60, dilihat tergesa-gesa memasuki padang kawad sehingga sebelah selipar tercabut sebelum dia memapah Adhar.

Klip video kejadian itu tular sejak kelmarin dan sehingga kini ia menjadi bualan ukuran nilai kasih sayang dan semangat seorang ‘ayah’ untuk melihat anaknya teguh dan berjaya.

Cerita Adhar, dia sebak apabila terkenangkan peristiwa itu kerana abah menerjah ke padang kawad untuk memapah­nya agar meneruskan kawad.

“Pada ketika itu, saya sebenarnya sebak. Jadi saya tahan air mata, sebab saya tak boleh menangis. Lepas habis saya dibawa ke khemah perubatan dan di bawah khemah itulah baru saya fikirkan semula, dan kejadian itu memang luar biasa.

“Tumbang semasa perbarisan, perkara biasa. Tapi yang menjadi tular itu, apabila abah berlari masuk ke padang kawad tanpa mengira protokol. Sedangkan (mengikut) protokol perbarisan, memang tak boleh masuk.

Jadi tanpa mengira protokol, abah masuk, abah berlari sampai tercabut selipar. Abah angkat dan papah saya dari belakang.

“Perkara itu saya tak jangka. Kata-kata abah kepada saya, saya lupa sebab waktu itu saya separuh sedar. Tapi ayat abah seolah-olah, “bangun, kuatkan semangat untuk terus berdiri”, kata Adhar ketika ditemu bual secara eksklusif bersama MMTV di sini semalam.

Sedih dalam bangga

Kejadian tersebut turut disaksikan Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang turut `sedih dalam bangga’ menyaksikan kasih sayang `bapa’ kepada anaknya tanpa sempadan.

Alexander kemudian menulis di Facebook: “Melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ayah, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali.

Kepada mereka yang masih mempunyai insan bergelar ayah, hargai, sayangi dan santunilah selagi hayatnya dikandung badan”.

Bercerita lanjut, Adhar berkata, Abdul Aziz menjaga­nya sejak kecil selepas dia kematian ibu dan bapa kandung.

“Dari segi pertalian, kami rapat seperti anak dan ayah, tiada istilah dia itu pak cik dan saya anak saudara, sebab kami memang rapat. Saya dijaga oleh dia sejak berumur tiga bulan, selepas kematian ibu. Kemudian masa umur tujuh tahun, ayah saya meninggal dan saya tinggal dengan mereka.

“Merekalah yang membiayai perbelanjaan untuk persekolahan saya dan sebagainya. Memang mereka layan saya macam anak sendiri. Ini adik-beradik belah arwah ayah kandung saya,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, tindakannya masuk ke padang kawad untuk memapah Adhar didorong fitrah sebagai seorang ayah, yang mahu memberikan semangat agar anaknya itu meneruskan perbarisan.

“Dalam fikiran pak cik, pak cik berharap supaya anak pak cik tiada apa-apa masalah atau kesakitan. Pak cik memapah dia bukan untuk bawa dia keluar perbarisan, tapi supaya dia bersabar dan meneruskan perbarisan itu dengan bersungguh-sungguh. Supaya dia jangan cepat mengalah.

“Apabila pak cik sampai tempat perbarisan dan angkat dia, pak cik suruh dia sabar dan teruskan perbarisan. Tapi pak cik tak pasti dia dengar atau tidak sebab dia masih lagi dalam keadaan terhuyung-hayang,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN