MELAKA: “Saya nak lihat (undi tidak percaya) berlaku atau tidak,” itu reaksi Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berhubung spekulasi akan berlaku undi tidak percaya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula 25 Julai ini.
Beliau menegaskan, berita itu hanya spekulasi pihak-pihak tertentu yang tidak senang melihat Melaka dalam keadaan aman dan tenteram.
“Spekulasi tu sudah lah. Pada saya tiada apa-apa. Kalau ada undi (tidak percaya), apa nak takut.
“Benda ini tidak ada. Tidak tahu dari mana datang. Mungkin ada orang tidak suka lihat kita dalam keadaan aman dan tenteram,” katanya dalam sidang akhbar selepas Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri di sini hari ini.
Sebelum ini, dalam laporan sebuah portal menyebut, Sulaiman mungkin berdepan undi tidak percaya dalam sidang DUN akan datang.
Dakwa portal itu, menurut sumber dilaporkan sebuah akhbar Cina, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berhasrat mengambil alih jawatan itu daripada Sulaiman.
Ab. Rauf kemudian menafikan laporan berkenaan dengan mengatakan ia berniat jahat serta bertujuan mengganggu-gugat kestabilan politik di negeri ini.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong mengakui kepada Utusan Malaysia, terdapat bayangan bakal berlaku undi tidak percaya terhadap Sulaiman pada sidang berkenaan. – UTUSAN











