PETALING JAYA: Pengerusi Sime Darby Bhd., Tan Sri Samsudin Osman, 75, dilantik sebagai Presiden, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ke-9, berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan beliau diperkenankan Ketua Perlembagaan UIAM, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar bagi menggantikan Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar yang tamat tempoh lantikan.
Samsudin sebelum ini merupakan Ketua Setiausaha Negara dari 2001 hingga 2006 di samping Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama 13 tahun sebelum bersara pada awal 2020.
Menurut Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, pelantikan presiden baharu itu akan memantapkan lagi pembangunan universiti selaras sambutan ulang tahun ke-40 pada tahun depan.
Katanya, pengalaman luas Samsudin dalam sektor awam dan korporat diyakini mampu membawa UIAM ke tahap lebih tinggi sekali gus menjadi panduan buat seluruh warga universiti untuk menempa lebih banyak kejayaan di peringkat tempatan dan luar negara.
“Dalam masa sama, dapat memacu UIAM sebagai sebuah universiti yang lebih disegani di antarabangsa.
“Di samping itu, UIAM turut mengucapkan terima kasih kepada Mohd. Daud atas sumbangan dan jasa beliau sepanjang menerajui universiti sebagai Presiden Ke-8,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Lembaga Gabenor UIAM, Jawatankuasa Pengurusan Universiti, kakitangan akademik, pentadbiran dan para pelajar turut mengucapkan tahniah atas pelantikan berkenaan. – UTUSAN










