KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang pembayaran bagi melaksana kajian kemungkinan untuk pemindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kajian kemungkinan yang akan dilaksanakan Kumpulan Berjaya dengan kerjasama Qhazanah Sabah Berhad tidak membabitkan apa-apa pembayaran.
“Kajian kemungkinan ini, kita setuju melantik Kumpulan Berjaya kerana kita yakin mereka punya pengalaman dalam hal seumpama ini. Namun, kita juga perlu anak syarikat kerajaan iaitu Qhazanah.
“Kita tidak bayar walau satu sen untuk buat kajian kemungkinan untuk pemindahan lapangan terbang ini. Qhazanah mahupun kerajaan tidak mengeluarkan kewangan untuk melakukan kajian ini,” katanya semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Warisan-Senallang) mengenai kelayakan atau pengalaman Kumpulan Berjaya dalam pembangunan lapangan terbang dan bayaran perlu dibuat untuk menjalankan kajian kemungkinan.
Mohd. Shafie mempersoalkan keupayaan dan latar belakang Qhazanah dan Kumpulan Berjaya yang dilantik untuk menjalankan kajian kemungkinan untuk menyediakan lapangan terbang yang selesa.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata, walaupun Kumpulan Berjaya mungkin tidak berpengalaman dalam pembangunan lapangan terbang tetapi, beliau yakin mereka akan bekerjasama dengan konsultan sama ada dari dalam atau luar negara yang berpengalaman.
Pada 30 Jun lalu, kerajaan negeri melalui cabang pelaburan, Qhazanah Sabah Bhd (QSB), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pemaju hartanah Berjaya Land Bhd (BLand) untuk meneroka kemungkinan pemindahan KKIA ke Kimanis.-UTUSAN