PETALING JAYA: Semangat tasamuh atau tolak ansur yang diterapkan Nabi Muhammad berjaya diterjemahkan semua ahli Dewan Rakyat apabila sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua ahli Parlimen sanggup mengetepikan perbezaan fahaman politik demi Keluarga Malaysia.
Menurut beliau, sikap tasamuh sebenarnya itu dianjurkan Rasulullah semasa membangunkan Madinah di mana golongan Ansar dan Muhajirin menzahirkan sifat toleransi yang melahirkan masyarakat berkasih sayang.
“Justeru, sikap toleransi atau berlapang dada, bukan hanya membolehkan kita untuk terus membangun sehingga dihormati, tetapi juga dapat mengelakkan kita daripada perbalahan yang sia-sia dan merugikan.
“Dalam meneruskan kesejahteraan hidup, marilah kita sama-sama menjaga keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia dengan mengamalkan konsep Tasamuh atau toleransi yang dituntut dalam Islam yang sangat bersifat universal.
“Semangat tasamuh ini telah diterjemahkan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat ketika sebulat suara meluluskan Rang Undang Undang Perlembagaan Berkenaan Larangan Ahli Dewan Rakyat.
Perbezaan
Bertukar Parti, pada 28 Julai yang lalu apabila sanggup mengetepikan perbezaan fahaman politik demi Keluarga Malaysia,” katanya dalam Perutusan Maal Hijrah 1444H semalam.
Menurut Ismail Sabri, tema sambutan Maal Hijrah tahun ini ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’ bersesuaian dengan latar kehidupan pada hari ini selepas lebih dua tahun berjuang memerangi krisis berkembar kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19.
Katanya, dengan semangat kebersamaan, semua rakyat berjaya berhijrah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik di mana fokus paling utama pada waktu ini adalah sama-sama menjadi pemangkin kemakmuran kesihatan dan ekonomi.
Perdana Menteri berkata, justetu Maal Hijrah bukan sekadar menghayati penghijrahan Nabi Muhammad dari Mekah ke Madinah bagi menyebarkan syiar Islam, tetapi ia mempunyai pengertian yang lebih besar.
“Cabaran pada hari ini sudah tentunya menuntut kecekalan dan ketahanan jiwa setiap daripada kita, sepertimana semangat pengorbanan kaum Muhajirin, yang sanggup meninggalkan harta dan kediaman.