Rumah sembelihan memang tak patuh halal

Rumah sembelihan memang tak patuh halal

halal
KEADAAN tempurung kepala haiwan yang didapati pecah akibat kesan menembak pelalian tekanan dan disahkan tidak halal tetapi ada ketika tag tidak halal ditanggalkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang lagi bekas pekerja rumah sembelihan di Brisbane, Queensland tampil mengesahkan kejadian ketidakpatuhan halal benar-benar berlaku seperti didedahkan saksi utama isu berkenaan, Osama kepada Utusan Malaysia semalam.

Dia yang mahu dikenali sebagai Umar mengaku, prosedur penyembelihan di rumah sembelihan itu tidak menitikberatkan pematuhan sepenuhnya aspek halal apabila haiwan mati sebelum disembelih.

Umar yang pernah bekerja selama dua tahun di sana berkata, dia sering melihat sendiri apabila label tidak halal ke atas haiwan yang mati akibat kepala pecah sebelum disembelih, ditanggal dan dikategorikan semula sebagai halal.

Katanya, kaedah stunning yang digunakan iaitu menem­bak pelalian tekanan bagi melemahkan haiwan sebelum disem­belih boleh mengakibatkan tempurung kepala haiwan pecah jika tidak dilakukan dengan betul, sekali gus membuktikan haiwan itu mati terlebih dahulu sebelum disembelih.

Bagaimanapun katanya, setiap kali kepala haiwan diperiksa dan dia mengkategorikannya sebagai tidak halal, sering berlaku perselisihan dengan penyelia syarikat di situ yang enggan membuang haiwan berkenaan.

“Mereka tidak mahu rugi jika ada antara haiwan dibuang hanya kerana tidak patuh syariah. Seluruh sistem halal di sini sudah rosak teruk,” katanya di sini semalam.

Semalam, akhbar ini mendedahkan pengakuan seorang bekas pekerja dikenali sebagai Osama tampil membuat pengakuan rumah sembelihan yang mendapat pengiktirafan halal oleh Australian Halal Development & Accreditation (AHDAA), tidak mengendahkan pemeriksaan kepala haiwan dilaksanakan sebelum mengesahkan kerja-kerja penyembelihan dilakukan adalah mengikut prosedur halal.

Sehubungan itu, dia menasihatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhati-hati dalam mengiktiraf status rumah sembelihan dari Australia kerana AHDAA dalam proses mendapatkan kelulusan bagi membenarkan produk daging dari semua rumah sembelihan di bawah penyeliaan mereka boleh memasuki pasaran Malaysia.

Dalam pada itu, Umar berkata, dia pernah bekerja di satu lagi rumah sembelihan di bawah AHDAA dan isu sama turut berlaku di sana.

Katanya, pemeriksaan kepala haiwan hampir langsung tidak dilaksanakan atau hanya 30 ekor diperiksa setiap hari berbanding 650 ekor penyembelihan haiwan dilakukan.

Ketika dia mula bekerja di situ, salah satu tugasnya adalah memeriksa tempat penyimpanan haiwan selepas disembelih tetapi malangnya, tiada sistem pengasingan dilaksanakan antara haiwan halal dan tidak halal.

“AHDAA hanya datang ke syarikat ini setiap tiga bulan untuk memperbaharui lesen tanpa melakukan audit walaupun aduan telah dibangkitkan kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Umar berkata, dia pernah bekerja di sebuah lagi rumah sembelihan di bawah penyeliaan AHDAA dan isu sama turut berlaku di sana.

Umar meninggalkan syarikat itu pada Februari lalu selepas tidak mahu lagi bersekongkol memberi umat Islam memakan bangkai.

Dia juga mengesahkan sudah  membuat akuan bersumpah kepada pihak berkuasa bagi membuktikan pengakuan mereka bukan satu rekaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN