Rumah Bonda dibuka semula

Rumah Bonda dibuka semula

SITI BAINUN AHD RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rumah Bonda yang terletak di Setapak boleh beroperasi semula selepas Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan yang difailkan oleh pengasas rumah perlindungan itu, Siti Bainun Ahd Razali.

Bagaimanapun, premis yang ditutup sejak Julai tahun lalu tidak boleh digunakan sebagai pusat jagaan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam, Asiah Jalil yang mewakili Siti Bainun kepada media selepas tamat prosiding di hadapan Majistret Nur Syafiqah Noorinda.

“Perintah menanggalkan Lak (notis penutupan) diberikan oleh Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993, tanpa sebarang bantahan daripada pihak Jabatan Kebajikan (JKM),” katanya.

Pada prosiding semalam, Pengarah JKM yang dinamakan sebagai responden diwakili Peguam Persekutuan, Fatin Shafira Ab. Patah.

Siti Bainun kini sedang dibicarakan atas tuduhan menganiaya dan mengabaikan seorang remaja perempuan Sindrom Down di Kondo Irama Wangsa, Wangsa Maju di sini yang juga merupakan rumah kediaman wanita itu.

Pada 7 Jun lalu, Siti Bainun memfailkan saman pemula memohon agar Rumah Bonda di Setapak dibuka semula dengan menamakan Pengarah JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) sebagai defendan tunggal.

Pada 9 Julai 2021, Siti Bainun menyatakan dia telah menerima Notis Lak (Penutupan) daripada JKMWPKL yang memaklumkan bahawa Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.

Siti Bainun mendakwa tindakan Lak yang dibuat atas alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan adalah tidak berasas, tidak adil dan tidak mengikut proses pentadbiran kerana pada sepanjang JKMWPKL mengetahui Rumah Bonda dalam proses pendaftaran.

Pada 20 April lalu, Rumah Bonda telah menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKM WPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan) di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993. Bayaran kompaun tersebut telah dilunaskan pada 25 April lalu.

Bagaimanapun, Pegawai Penguatkuasa JKM WPKL telah memaklumkan kepada Siti Bainun walaupun kompaun dibayar, Rumah Bonda hanya boleh dibuka semula atas perintah mahkamah.

Disebabkan perintah penutupan itu masih berkuatkuasa, Siti Bainun mendakwa pihaknya tidak boleh menjalankan kerja-kerja amal yang lain seperti penyediaan makanan bagi gelandangan dan pusat bank makanan.

Oleh itu, plaintif memohon agar Mahkamah memerintahkan JKMWPKL untuk menanggalkan Lak yang dibuat pada 12 Julai 2021.

Siti Bainun juga memohon agar Rumah Bonda dibenarkan beroperasi di Taman Setapak di sini dan digunakan untuk lain-lain tujuan selain sebagai pusat jagaan.

Turut dimohon ialah perintah dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya