RoS tentukan nasib Ahmad Zahid? - Utusan Malaysia

RoS tentukan nasib Ahmad Zahid?

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pemilihan UMNO jika terpaksa diadakan dalam tempoh terdekat dilihat sangat penting dalam menentukan nasib atau hala tuju kumpulan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sama ada mampu bertahan atau sebaliknya.

Ia bakal menjadi medan sama ada kem Ahmad Zahid bersama Datuk Seri Najib Tun Razak masih mampu bertahan mengetuai UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atau akar umbi akan memilih barisan kepemimpinan baharu diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kem ‘Putrajaya’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Pusat Sains Liberal Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, UMNO tidak ada pilihan selain perlu mengadakan pemilihan jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan parti itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, jika pemilihan terpaksa berlangsung dalam tempoh terdekat, berkemungkinan Ismail Sabri yang mempunyai kelebihan sebagai Perdana Menteri bakal mencabar Ahmad Zahid sebagai presiden parti itu.

Kelebihan

Ujarnya, dalam situasi tersebut, Ismail Sabri dilihat lebih mempunyai kelebihan sekiranya akar umbi mahu melakukan pembersihan dengan menyingkirkan pemimpin-pemimpin yang mempunyai kes mahkamah.

“Ismail Sabri dilihat bersih dan tidak mempunyai kontroversi dalam mengetuai UMNO bagi menghadapi PRU15. Malah, kepemimpinan baharu itu juga bakal menentukan dasar sama ada parti itu akan bergerak solo atau kembali bekerjasama dengan Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).

“Sebab itu dilihat pemilihan parti sebelum PRU15 menjadi penting yang bakal menentukan nasib Ahmad Zahid dan Najib atau memilih muka baharu dalam mengetuai kepemimpinan parti itu,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, UMNO perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya RoS tidak meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan parti itu.

Ia berhubung pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO yang memberi tempoh untuk parti itu melanjutkan pemilihan enam bulan selepas setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Terdahulu, RoS dalam satu kenyataan ringkas berkata, keputusan berhubung permohonan pindaan Perlembagaan UMNO akan diketahui selewat-lewatnya pada 16 Julai ini.

Tambah Muhammad Izmer, juga mempunyai sokongan luar parti seperti PN untuk bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

“Beliau juga boleh menggunakan pengaruh di dalam kerajaan untuk tarik sokongan undi sekiranya bertanding melawan Ahmad Zahid sebagai presiden parti,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN