PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) perlu mengikut kehendak ahli UMNO yang lebih memahami kepentingan parti dan bukannya membuat keputusan samberono tanpa justifikasi kukuh.
Justeru Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menggesa agar RoS segera meluluskan pindaan perlembagaan UMNO berkenaan penangguhan pemilihan parti sehingga enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).
Malah katanya, RoS tidak mempunyai sebab kukuh untuk menolak pindaan perlembagaan tersebut kerana agensi itu ditubuhkan bagi melindungi kepentingan dan hak ahli-ahli sesebuah pertubuhan.
“Antara peranan RoS ialah menjaga kepentingan dan hak ahli sesebuah pertubuhan. UMNO sudah melaksanakan mesyuarat perwakilan bahagian, sudah mengadakan Perhimpunan Agung UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO Khas.
“Berkali-kali jelas apa yang ahli mahukan, daripada atas sehinggalah ke bawah. Malah Perdana Menteri sendiri yang menyokong usul itu.Takkan RoS lebih tahu daripada ahli tentang kepentingannya?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu, 184 bahagian membabitkan 2,580 perwakilan seluruh negara menyokong dengan sebulat suara yang memilih untuk mengadakan PRU sebelum pemilihan parti.
Tambah Shahril, proses pindaan perlembagaan parti dibuat mengikut fasal 30 Perlembagaan UMNO dan sudah pun dikemukakan kepada ROS dua hari selepas perhimpunan agung khas.
“Segala proses pindaan dibuat mengikut lunas perlembagaan parti iaitu fasal 30 dan surat telah dikemukan kepada RoS oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pada 17 Mei 2022.
“Namun, parti masih belum mendapat maklumbalas daripada ROS,” jelasnya.
Katanya, tanpa ketetapan akhir oleh pihak RoS, UMNO dijadualkan akan mengadakan pemilihan parti selewatnya pada 29 Disember 2022. – UTUSAN











