PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi kini membuka permohonan kepada mana-mana koperasi untuk memanfaatkan dana RM500 juta bagi membangunkan industri agromakanan negara.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, buat masa ini, sebanyak RM400 juta disediakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menerusi Tabung Modal Pusingan selain RM100 juta tambahan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa hari lalu.
Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan supaya dana RM100 juta itu diletakkan di bawah Tabung Modal Pusingan.
“Buat permulaan, keutamaan pinjaman akan diberikan kepada koperasi yang sedang menjalankan industri agromakanan dan ingin mengembangkan industri berkenaan.
“Justeru, saya sudah meminta SKM supaya mempermudahkan kelulusan permohonan pinjaman itu dan memberi tumpuan kepada industri agromakan termasuk ternakan dan tanaman,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi kementerian itu di sini hari ini.
Katanya, beliau difahamkan, ada koperasi yang terpaksa mencagarkan tanah bagi mendapatkan pinjaman, justeru, beliau memberi jaminan kali ini ia akan dipermudahkan.
Noh berkata, beliau pasti koperasi yang berminat mahu mengembangkan industri agromakanan masing-masing sekali gus membantu menampung bekalan makanan sedia ada dalam negara.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan dana berjumlah RM100 juta dikenali Tabung Agromakanan yang diletakkan di bawah SKM bagi membantu koperasi mengembangkan industri agromakanan khususnya penternakan ayam.
Terdahulu, Noh menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 225 orang penerima masing-masing daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia, TEKUN Nasional dan SME Corp. Malaysia. – UTUSAN