Remaja putus kaki rindu arwah ibu

Remaja putus kaki rindu arwah ibu

KEADAAN terkini Mohamad Shahrul Rizal Mohd. Azizi selepas menjalani rawatan dan pembedahan di HUSM, Kubang Kerian, Kelantan. - IHSAN KELUARGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Keadaan seorang remaja yang putus kaki kiri akibat dihempap muatan besi dibawa sebuah treler yang terbalik di lampu isyarat Kampung Dalam Kemunting di sini Khamis lepas, semakin stabil apabila sudah sedarkan diri Isnin lalu.

Mohamad Shahrul Rizal Mohd. Azizi, 12, kini ditempatkan di wad Zamrud 2, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Ibu saudaranya, Yasmin Abdul Hamid, 24, berkata, kaki kiri remaja itu yang gagal diselamatkan terpaksa dipotong sehingga paras bawah lutut manakala kaki kanannya yang patah perlu dimasukkan besi.

Katanya, kaki kiri Mohamad Shahrul Rizal yang gagal disambung semula telah ditanam berdekatan pusara ibunya, Yusni Hamid, 32, yang meninggal dunia dalam nahas tersebut di Tanah Perkuburan Islam Gong Tinggi pada Jumaat lalu.

“Mohamad Shahrul Rizal memerlukan tempoh enam hingga tujuh bulan untuk sembuh sepenuhnya. Sehingga kini dia sudah mampu membuka mata dan bercakap.

“Dia mengingati kemalangan itu malah menyatakan kerinduan kepada arwah ibunya. Dia juga meminta melihat gambar-gambar kemalangan dan upacara pengebumian ibunya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Gong Kala, di sini semalam.

Yasmin berkata, ahli keluarganya sepakat dengan bergilir-gilir menunggu Mohamad Shahrul di HUSM untuk memberi sokongan semangat terhadapnya yang masih trauma dengan kehilangan ibu tercinta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kertas siasatan berhubung kemalangan itu telah dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pemandu treler itu sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis dan masih menjalani rawatan lanjut di Hospital Tengku Anis kerana cedera tulang pinggang.

Terdahulu, akhbar melaporkan, seorang ibu tunggal maut manakala anak lelakinya putus kaki kiri selepas motosikal yang dinaiki mereka dihempap muatan besi dibawa sebuah treler yang terbalik di simpang empat lampu isyarat di Kampung Dalam Kemunting. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.