Rakyat Malaysia rancak ke Hatyai

Rakyat Malaysia rancak ke Hatyai

HATYAI, Thailand kembali hidup dengan kehadiran pelancong dari Malaysia selepas perkhidmatan tren ulang alik Padang Besar-Hatyai beroperasi semula Jumaat lalu. - FOTO/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HATYAI, THAILAND: Selepas lebih dua tahun pintu sempadan ditutup, Hatyai salah satu lokasi pelancongan popular kembali rancak khususnya dengan kedatangan pelancong dari negara ini.

Malah, pengoperasian semula tren ulang alik Padang Besar-Hatyai sejak minggu lalu memudahkan pengunjung keluar masuk ke lokasi pelancongan kedua-dua negara.

Tinjauan Utusan Malaysia ke Hatyai semalam, mendapati pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menggunakan perkhidmatan tersebut yang mengambil masa perjalanan kira-kira 55 minit dari Padang Besar.

Proses dokumentasi juga dilihat berjalan dengan mudah dan lancar dengan anggota keselamatan turut membantu memberi panduan kepada para pengunjung.

Selain itu, perkhidmatan kereta api itu turut mendapat sambutan pelancong yang menaiki tren tersebut dari Stesen Hatyai Junction ke Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Padang Besar.

Seorang pelancong Malaysia dari Georgetown, Pulau Pinang, Vaine Lee, 35, berkata, dia mengambil peluang untuk mencuba perkhidmatan tren ulang alik itu terlebih dahulu selepas merancang membawa ahli keluarga melancong ke Thailand selepas ini.

“Saya merancang membawa keluarga pula selepas ini untuk bercuti disebabkan itu saya datang seorang diri terlebih dahulu untuk melihat suasana perjalanan menaiki tren ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja kedai makan dari Thailand, Hasan Dueranae, 22, berkata, pengoperasian semula perkhidmatan tren ulang alik itu sememangnya sangat dinantikan oleh kebanyakan pelancong daripada kedua-dua negara.

Menurut Hasan, sebelum tren ini beroperasi semula, dia terpaksa menggunakan perkhidmatan van sewa untuk pulang ke kampung yang terletak di Pattani, Thailand.

“Saya memang kerap ulang-alik dari Alor Setar, Kedah ke Thailand jadi perkhidmatan ini sangat membantu memandangkan kosnya juga murah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Asmaiza Ahmad berkata, kerajaan negeri menyasarkan untuk menarik seramai enam juta pelancong ke Perlis menjelang tahun 2030.

Katanya, buat masa ini, promosi lokasi pelancongan menarik di Perlis sedang giat dilakukan bagi memastikan setiap pengunjung dapat meluang masa sekurang-kurangnya satu malam di negeri ini.

“Sebab itu saya minta pemain industri pelancongan di Perlis dapat menggunakan peluang untuk bersama-sama menarik pelancong ke negeri ini untuk bermalam,” katanya yang turut bersama menaiki tren ulang-alik Padang Besar-Hatyai itu semalam.

Tambah Asmaiza, difahamkan terdapat lebih 200 orang pengguna sehari menggunakan perkhidmatan tren ulang alik itu sejak ia mula beroperasi semula Jumaat lalu.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan mengenai pengoperasian semula tren ulang alik Padang Besar-Hatyai selepas lebih dua tahun tidak beroperasi ekoran pandemik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN