Rakyat diseru usahakan tanah lapang untuk tanaman sayur

Rakyat diseru usahakan tanah lapang untuk tanam sayur

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai benih padi pada majlis penyerahan Stesen Penyelidikan Hibrid Mardi-YTSS di Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Rakyat Perlis diseru membantu kerajaan menangani krisis bekalan makanan dengan mengusahakan tanah lapang di halaman rumah masing-masing bagi menanam sayur dan tanaman lain yang bersesuaian.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, langkah tersebut sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan inflasi dan kebergantungan kepada komoditi makanan yang diimport.

Titah baginda, kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah melaksanakan perancangan sewajarnya sebelum ini bagi menangani permasalahan itu.

“Seperti mana semua sedia maklum, Perlis mempunyai keluasan tanah yang terhad untuk tujuan pertanian dan kebanyakkan aktiviti ini dijalankan bagi tujuan sara diri,” titah baginda 

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan majlis penyerahan Stesen Penyelidikan Hibrid Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Yayasan Tuanku Syed Sirajuddin (YTSS) di MARDI Perlis di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Pengerusi YTSS, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, golongan petani juga sewajarnya mengalihkan fokus pertanian mereka ke arah penghasilan benih tanaman yang bermutu tinggi selepas ini.

“Beta sarankan kepada semua golongan berkepentingan khususnya petani untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi kerajaan khususnya MARDI dalam meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti hasil tanaman mereka

“Kelebihan yang terdapat di negeri ini juga wajar dimanfaatkan oleh kerajaan untuk memperkukuhkan lagi industri penghasilan benih tanaman dengan membangunkan infrastruktur dan jaringan yang dapat memperkukuhkan lagi sekuriti makanan negara,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut mengharapkan agar stesen penyelidikan hibrid tersebut dapat menjadi mercu tanda dan tumpuan komuniti pertanian khususnya para penyelidik, petani mahu pun pihak industri untuk bersatu dalam penghasilan benih tanaman berkualiti tinggi.

“Harapan beta adalah dengan adanya stesen penyelidikan ini, ia dapat mengurangkan lagi jurang pendapatan golongan petani dan pekerja serta menjadikan bidang ini sebagai perniagaan yang menguntungkan,” titah baginda. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN