PUTRAJAYA: Bertuahnya jika dapat menetap di Labuan kerana laporan Indeks Kebahagian Rakyat Malaysia (MHI) 2021 yang dikeluarkan hari ini menunjukkan tahap bahagia di wilayah itu berada pada skor 9.29 iaitu sangat bahagia.
MHI 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) meletakkan Labuan sebagai negeri yang mempunyai skor indeks kebahagian tertinggi berbanding negeri-negeri lain.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, selain Labuan, negeri lain yang mencatatkan skor pada tahap bahagia iaitu Kuala Lumpur (7.77), Putrajaya (7.28), Terengganu (7.20), Kelantan (7.02), Perlis (6.96), Sarawak dan Johor (6.69), Negeri Sembilan (6.68), Pulau Pinang (6.65), Perak (6.35), dan Sabah (6.28).
Bagaimanapun katanya, dua negeri mencatatkan skor sederhana bahagia iaitu Melaka dengan skor 5.85 dan Selangor pada kedudukan terakhir dengan skor 5.74.
“Analisis menunjukkan Labuan mencatatkan purata skor melebihi 9 bagi kesemua 13 komponen termasuk penggunaan masa (9.93), keluarga (9.91), amalan kerohanian (9.83), keselamatan awam (9.74) dan kemudahan komunikasi (9.64),” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Selain itu katanya, skor kebahagian penduduk di bandar dan luar bandar pula mendapati, skor diperoleh tidak jauh beza di mana bandar mencatatkan skor 6.46 manakala, luar bandar pula dengan skor 6.54.
Mohd. Uzir berkata, berdasarkan skor indeks kebahagian jantina pula, perempuan di negara ini mempunyai skor kebahagian lebih tinggi dengan skor 6.49 berbanding lelaki iaitu 6.46.
Katanya, kategori berkahwin merekodkan nilai skor indeks kebahagian tertinggi bagi taraf perkahwinan dengan 6.48 berbanding tidak pernah berkahwin (6.47), bercerai atau berpisah (6.47) dan balu atau duda (6.40).
Berdasarkan kumpulan umur pula, Mohd. Uzir berkata, skor indeks bahagia tertinggi direkodkan bagi kumpulan usia 55 hingga 59 tahun dengan 6.51 diikuti 40 hingga 44 tahun (6.49), 25 hingga 29 tahun (6.48), 35 hingga 39 tahun (6.48), 50 hingga 54 tahun (6.48), 15 hingga 19 tahun (6.47), 45 hingga 49 tahun (6.47), 60 hingga 64 tahun (6.45), 65 tahun ke atas (6.45) dan 30 hingga 34 tahun 6.45.
Dalam pada itu, berdasarkan kumpulan etnik pula, skor indeks kebahagiaan bagi semua etnik berada pada tahap bahagia dengan Bumiputera (6.50) diikuti Cina (6.49), India (6.39) dan lain-lain (6.28).
Mohd. Uzir berkata, kesemua skor indeks kebahagian itu diperoleh berdasarkan Survei Kebahagian Rakyat Malaysia 2021 yang membabitkan 42,446 responden di seluruh negara.
Katanya, secara keseluruhannya, rakyat Malaysia berada pada tahap bahagia walaupun negara berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi.
“Senario ini mungkin akan berbeza untuk kajian yang akan datang malah, penemuan survei ini juga menunjukkan tidak wujud jurang yang ketara antara strata, etnik, kumpulan umur, jantina, pencapaian pendidikan dan taraf perkahwinan dalam mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN










