Radhi mahu hantar representasi gugur pertuduhan

Radhi mahu hantar representasi gugur pertuduhan

MUHAMMAD Radhi Razali atau Radhi OAG hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi sebutan semula kes pukul yang melibatkannya. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak pembelaan mewakili penyanyi, Muhammad Radhi Razali atau dikenali Radhi OAG akan menghantar representasi bagi menggugurkan pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya, April lalu.

Peguam belanya, Haziq Aizuddin Subhi ketika ditemui media selepas prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Majistret di sini berkata, pihaknya sedang mempertimbang tindakan tersebut.

“Sekiranya representasi itu ditolak, kami bersedia kes diteruskan dengan perbicaraan. Kita akan maklumkan kepada mahkamah mengenai status representasi itu pada 23 Ogos ini,” katanya. 

Terdahulu, pada prosiding hari ini, Majistret Muhammad Iskandar Zainol menetapkan 23 Ogos ini bagi sebutan semula kes itu bagi membolehkan dokumen-dokumen berkaitan kes itu dilengkapkan.

Sementara itu, Radhi ketika ditemui berkata, dia mengharapkan penyelesaian cara baik dengan bekas isterinya itu. 

“Saya fikir anak-anak. Jika kes ini diteruskan, kita akan terus turun naik mahkamah yang juga akan mengeluarkan kos,” katanya. 

Pada 22 April lalu, Radhi dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nur Shaira Ayu Zahiri, 28, pada pukul 2.29 petang, 19 April lalu di parkir Emporis Menara D Kota Damansara. 

Dia dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Akhbar sebelum ini melaporkan, berlaku perselisihan faham di antara penyanyi dan bekas isterinya ketika mangsa mahu mengambil anak lelaki mereka daripada lelaki itu di kawasan parkir kediaman bekas suaminya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, perselisihan faham berlaku kerana mangsa enggan bergambar bersama lelaki terbabit.

“Suspek berusia 45 tahun itu kemudian memarahi dan memukul badan pengadu menyebabkan kesan lebam dan sakit pada anggota badan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Julai 2019, Radhi sah bercerai talak satu dengan Nur Shahira Ayu di Mahkamah Rendah Syariah. Mereka mempunyai dua anak.

Sebelum itu, Radhi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 sebelum berpisah pada 8 Jun 2010.

Hasil perkahwinan dengan Shazlin, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim yang kini berusia 14 tahun. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya