Projek benteng punca air telaga rumah penduduk masin, payau

Projek benteng punca air telaga rumah penduduk masin, payau

SAPURA Othman menadah air di luar rumahnya di Taman Sri Pantai, Kampung Jubakar Pantai, Tumpat, Kelantan yang bertukar masin dan payau sejak lima bulan lalu. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Kira-kira 500 penduduk di Taman Sri Pantai, Kampung Jubakar Pantai di sini, hidup dalam keadaan tertekan apabila air telaga tiub yang dibina di kawasan rumah mereka bertukar masin dan payau sejak lima bulan lalu.

Penduduk mendakwa, perubahan rasa air telaga itu berpunca daripada projek pembangunan benteng di lagun berdekatan kampung tersebut.

Kata mereka, projek itu menyebabkan air laut yang bertakung ketika air pasang tidak dapat keluar semula ke laut akibat terhalang oleh benteng berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Zainudin Mohd. Nor, 66, berkata, air telaga tiub yang dibina penduduk di sembilan blok taman itu tiba-tiba bertukar masin sejak kerja-kerja pembangunan benteng itu.

“Kami syak air laut sudah bercampur dengan mata air yang disedut dari bawah tanah untuk mendapatkan bekalan air di telaga tiub.

“Penduduk di sini bergantung sepenuhnya kepada sumber air telaga tiub kerana air yang dibekalkan syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. hanya keluar angin semasa paip dibuka,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Sapura Othman, 40, pula berkata, dia dan keluarganya tidak dapat minum air dari telaga tiub di rumahnya meskipun sudah dimasak kerana rasa masin dan payau.

Katanya, sudahlah tidak dapat minum air telaga, badan rasa melekit selepas mandi atau membasuh pakaian menggunakan sumber air di rumah.

“Kami terpaksa membeli air mineral di kedai untuk memasak sekali gus menyusahkan penduduk di sini. Kos untuk membeli air mineral setiap hari bukannya murah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi ketika dihubungi berkata, beliau telah mengarahkan petugas di pejabat Ahli Parlimen Tumpat ke lokasi terbabit untuk menyiasat mengenai masalah tersebut.

“Saya masih berada di Mekah kerana mengerjakan haji. Oleh itu, saya arahkan petugas ke sana dan akan membekalkan air mineral kepada penduduk di taman tersebut. Insya-Allah, sebaik pulang ke tanah air nanti, saya akan mengadakan pertemuan dengan penduduk menyelesaikan masalah itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN