Positif RoS lulus pindaan Perlembagaan UMNO

Positif RoS lulus pindaan Perlembagaan UMNO

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan positif Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan meluluskan pindaan perlembagaan UMNO yang dihantar parti itu pada 17 Mei lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahmad berkata, ia adalah berdasarkan empat perkara kukuh yang membuatkan RoS tiada sebab tidak meluluskannya.

“Saya positif RoS luluskan sebab ia adalah keputusan kami dalam perhimpunan agung sebelum ini dan sebulat suara.

“Ada empat sebab iaitu segala pindaan itu mengikut prosedur dan kedua RoS sudah luluskan kepada MCA berhubung pindaan yang setara dengan UMNO,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ahmad berkata,  dua perkara lagi adalah RoS mengesahkan kepemimpinan UMNO bukan caretaker dan menjadi  hak sesebuah pertubuhan melaksanakan perkara yang baik selagi tidak melanggar undang-undang Persekutuan.

“RoS tidak menyebut pemilihan pertubuhan perlu diadakan berapa tahun sekali dalam Akta Pertubuhan. Tetapi UMNO mempunyai tiga pilihan iaitu tiga tahun sekali, lanjutan 18 bulan atau enam bulan selepas satu pilihan raya umum atau yang mana terkemudian,” katanya.

Sebelum ini, RoS memaklumkan, keputusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan UMNO diketahui selewat-lewatnya Sabtu ini.

Ia berhubung pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO yang memberi tempoh untuk parti melanjutkan pemilihan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

Sementara itu, peguam, Datuk Adnan Seman ketika dihubungi berkata, pemilihan UMNO di peringkat cawangan boleh bermula Oktober tahun ini sekiranya RoS tidak meluluskan pindaan perlembagaan parti itu.

Katanya, ia adalah tempoh yang munasabah supaya pemilihan di peringkat bahagian dan seterusnya dapat diadakan sebelum Disember 2022.

“Jika buat rayuan hanya buang masa, ia mengambil masa sebulan dua untuk dapat tahu keputusan rayuan itu. Jadi, apa yang boleh dibuat  jika RoS tidak beri kelulusan adalah cabar di mahkamah.

“Dalam masa yang sama, pemilihan perlu dibuat dan di peringkat cawangan dulu selewat-lewatnya Oktober ini,” katanya.

Adnan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak berkata, pemilihan di peringkat bahagian pula boleh dibuat pada bila-bila masa selepas sahaja di peringkat cawangan selesai.

“Di bahagian pula, ia melibatkan 191 bahagian dan lebih 100,000 perwakilan. Kita kena ambil kira calon yang menawarkan diri di peringkat bahagian. Ibu pejabat pula perlu membuat kertas undian yang melibatkan 191 bahagian, 100,000 perwakilan. Sudah tentu kertas undian banyak dan memerlukan masa untuk mempersiapkannya,” ujarnya lagi.

Adnan dalam masa yang sama menegaskan, tiada sebab mengapa RoS tidak meluluskan pindaan berkenaan kerana ia telah diluluskan dalam Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN