PETALING JAYA: Sebanyak 70 kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung skim Pelaburan BTC Financial Trading/Finance Trader dan Pelaburan Smart Trader Best Exchange membabitkan kerugian lebih RM1.37 juta di seluruh negara.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata sehingga semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) membuka 22 kertas siasatan berhubung skim Pelaburan BTC Financial Trading/Finance Trader dengan jumlah kerugian RM708,400.
Menurut beliau, bakinya sebanyak 48 kertas siasatan lagi dibuka terhadap skim Pelaburan Smart Trader Best Exchange membabitkan kerugian RM661,672.
“Siasatan mendapati sindiket yang mengendalikan kedua-dua skim pelaburan tersebut menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp untuk mencari dan berurusan dengan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pelaburan ditawarkan menjanjikan pulangan 50 hingga 100 peratus dalam tempoh tiga hingga enam jam.
“Mangsa yang berminat akan diminta membuat pendaftaran melalui pautan yang diberikan seterusnya membuat pindahan wang ke dalam akaun bank yang diberikan sindiket.
“Mereka kemudian akan dimaklumkan sudah mendapat keuntungan namun dikenakan pelbagai syarat tambahan sekiranya ingin membuat pengeluaran,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, orang ramai diminta sentiasa berwaspada dan membuat semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan, terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.
“Maklumat lanjut mengenai tawaran pelaburan boleh diperoleh daripada sumber rasmi seperti Semak Mule, ‘alert list’ Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum membuat keputusan untuk menyertai sebarang skim pelaburan,” katanya.- UTUSAN











