PETALING JAYA: Polis melumpuhkan kegiatan sindiket memproses dan membungkus dadah menerusi beberapa serbuan di daerah Dang Wangi semalam.
Serbuan pertama kira-kira pukul 7 malam dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Law Yew Swee, Off Jalan P Ramlee, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan selain merampas pelbagai jenis dadah bersama peralatan serta bahan memproses dadah.
Kata beliau, hasil soal siasat terhadap suspek, empat lagi serbuan dilakukan
di daerah ini sebelum menahan lima lelaki dan seorang wanita warga asing.
“Polis turut menyita dua kenderaan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan itu dalam serbuan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noor Dellhan berkata, hasil serbuan itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah seperti methaphetamin seberat 796 gram dan methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 382 gram.
“Kami turut merampas serbuk MDMA seberat 353 gram, cecair methaphetamin sebanyak 220 mililiter, ketamin seberat 211.62 gram dan cecair MDMA sebanyak 25 mililiter.
“Keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM191,693,” jelasnya.
Beliau berkata, semua individu yang ditahan berusia antara 20 tahun hingga 40 tahun dipercayai terbabit secara langsung dalam kegiatan memproses dan membungkus dadah bagi pasaran di sekitar Lembah Klang.
“Sindiket ini juga dipercayai mula bergiat aktif menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu.
“Saringan awal air kencing mendapati empat daripada lapan suspek positif dadah jenis amphetamin dan methaphetamin,” ujarnya.
Tambah beliau, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 14 Julai ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN











