MELAKA: Polis Kontinjen Melaka memaklumkan pihaknya telah berjaya menuduh sebanyak 223 kes melibatkan aktiviti perjudian untuk tempoh Januari hingga Jun 2022.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kejayaan itu melibatkan peratusan sebanyak 46.6 peratus daripada jumlah tangkapan yang dilakukan dalam tempoh sama.
“Bagi mengekang aktiviti perjudian dalam tempoh Januari hingga Jun 2022, sebanyak 479 serbuan telah dijalankan dan seramai 536 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan judi.
“Sebanyak 223 kes telah berjaya dituduh dengan pertuduhan sebanyak 46.6 peratus. Sebanyak 61 premis telah dibuat pemotongan elektrik, manakala sebanyak 21 laman web judi telah disekat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kadar jenayah keseluruhan di negeri ini, Zainol berkata, ia masih dalam keadaan terkawal meskipun terdapat peningkatan dalam indeks jenayah.
Jelasnya, peratusan jenayah indeks bagi Januari hingga Jun 2022 telah meningkat sebanyak 3.17 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Bagi 2022 jenayah indeks telah merekodkan sebanyak 749 kes berbanding 726 kes pada 2021. Daripada jumlah ini, peratusan jenayah kekerasan telah merekodkan penurunan sebanyak 7.36 peratus, manakala peratusan jenayah harta benda telah meningkat 6.22 peratus.
“Walau bagaimanapun, usaha membanteras jenayah dan menangkap pesalah-pesalah jenayah, masih diteruskan dengan giatnya dan menjadi tanggungjawab besar polis khususnya JSJ untuk menangkis fenomena ‘ketakutan dalam jenayah’ (fear of crime),” katanya. – UTUSAN











