KOTA BHARU : Polis Kelantan mengerahkan unit kaunseling untuk turun padang memberi khidmat nasihat dan kata-kata semangat kepada orang awam yang menjadi mangsa jenayah di negeri ini.
Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kaunseling ini merupakan salah satu bentuk sokongan dalam bentuk emosi kepada mangsa supaya mereka dapat melupakan kejadian tersebut.
Menurutnya, setakat dua keluarga telah diberikan kaunseling berkait kes dadah kanak-kanak tertelan di Kuala Krai dan isteri yang telah ditikam oleh suami.
“Besar harapan kita agar usaha ini dapat membantu mereka untuk bangkit dan kuat bagi menjalani kehidupan seperti biasa.
“Selain orang awam, program sama pernah dibuat sebelum kepada pegawai dan anggota untuk memberi khidmat nasihat mengikut keperluan,” katanya ketika ditemui di Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pengkalan Chepa, di sini semalam.
Muhamad Zaki memberitahu, khidmat nasihat itu perlu bagi memastikan mereka tidak tersisih apabila menghadapi sebarang ujian.-UTUSAN










