LANGKAWI: Polis sedang mengesan seorang pelancong lelaki yang dipercayai mabuk dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam di sekitar pulau peranginan ini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima maklumat selepas insiden lelaki berkenaan duduk di atas bumbung sebuah kereta pelbagai guna (MPV) tular di media sosial.
“Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan dan rakan-rakannya merupakan pelancong tempatan yang berkunjung ke pulau berkenaan untuk bercuti dan kini telah keluar dari Pulau Langkawi.
“Tindakan sedang diambil oleh pihak polis bagi mengesan suspek dan saksi-saksi bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mabuk dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.
Sejak beberapa hari lalu, tular beberapa keping gambar yang dikongsi pengguna media sosial memaparkan aksi lelaki tersebut yang ‘bersidai’ melalui sunroof sebuah kereta dipercayai jenis Toyota Vellfire berwarna putih yang disewa sekumpulan individu.
Tindakan tersebut mengundang kemarahan warganet terutama pengusaha kereta sewa di pulau peranginan itu yang dikhuatiri merosakkan struktur bumbung kenderaan mewah terbabit. – UTUSAN










