PETALING JAYA: Polis Selangor mengambil keterangan ahli keluarga bekas personaliti TV3, Zalina Azman bagi membantu siasatan berhubung kehilangannya.
Memberitahu Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, pihaknya setakat ini merakam percakapan ahli keluarga termasuk anak Zalina bagi menemui petunjuk kehilangan wanita berkenaan.
“Ketika laporan dibuat November lalu, kita telah mengambil keterangan-keterangan berkaitan bagi mendapatkan petunjuk.
“Bagaimanapun, kehilangan wanita terbabit menemui jalan buntu selain maklumat daripada agensi bahawa tiada sebarang pergerakan keluar negara dibuat Zalina,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambah Sasikala, kes tersebut masih diklasifikasikan di bawah Orang Hilang dan tiada sebarang unsur jenayah dikaitkan setakat ini.
Semalam, Sasikala berkata, pihaknya percaya Zalina yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu berkemungkinan masih berada dalam negara.
Dalam pada itu, bekas personaliti TV3, Dang Suria Zainurdin meminta semua pihak tidak cepat membuat sebarang andaian atau hukuman terhadap bekas rakan sekerjanya, Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November lalu.
Katanya, adalah tidak adil masyarakat dan netizen membuat sebarang spekulasi sendiri mengenai kehilangan bekas pengacara TV3 tersebut memandangkan kes juga masih dalam siasatan polis.
“Jangan mudah menghakimi sebab kita pun tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Serah sahaja pada pihak berkuasa untuk siasat.
“Jangan spekulasi sebarang cerita. Ia sangat tidak adil untuk keluarga dan anak-anaknya,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi pula menyeru orang ramai dan kenalan Zalina menunaikan solat hajat agar bekas pengacara Money Matters itu ditemukan segera dan selamat.
Katanya, sebagai rakan, dia sentiasa mendoakan dan berharap agar tiada perkara buruk berlaku kepada Zalina yang sehingga kini masih hilang dan gagal ditemukan.
“Zal, kalau awak terbaca pesanan ini, carilah rakan-rakan yang rapat dan sekurang-kurangnya maklumkan yang awak sekarang dalam keadaan baik dan selamat.
“Saya juga menyeru kepada sesiapa mengenalinya, lakukan solat hajat. Doakan agar tak ada perkara buruk berlaku kepadanya,” katanya yang kali terakhir beliau bertemu Zalina adalah sekitar tahun 2003 di London. – UTUSAN










