Kongres Nasional PKR KE-16
Walaupun Kongres PKR bermula hari ini boleh dikatakan perjumpaan terakhir pendokong agenda reformasi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), yang turut mencetus 1,001 persoalan berhubung susunan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Wanita PKR dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang bakal dipilih menerusi undian yang bermula hari ini dan esok.
Ini kerana terdapat pihak mengetengahkan ‘cai’ masing-masing untuk berentap dalam ketiga-tiga sayap itu sekali gus memperlihatkan wujud kem-kem tertentu dalam PKR .
Misalnya Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kelmarin mencadangkan 26 nama barisan pimpinan untuk melengkapkan senarai MPP yang kononnya ingin meneruskan gelombang suara akar umbi yang dizahirkan oleh pimpinan peringkat atasan.
Atau dalam erti kata lain percubaan Rafizi itu adalah bertujuan mengetengahkan idea baharu PKR di samping misi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti tersebut agar dapat mewarnai semula pentas politik negara pada PRU15.
Namun drama kem dalam PKR tidak berakhir di situ apabila muncul pula isu ‘budak-budak pejabat Anwar’ yang kalah pemilihan.
Ini termasuklah bekas Setiausaha Politik Anwar sendiri iaitu Farhash Wafa Salvador apabila beliau sebelum ini mendesak audit forensik dilakukan terhadap keputusan pemilihan PKR hingga menyebabkan kongres ditangguhkan.
Sebaliknya hasil audit forensik dijalankan itu tidak menyebelahi Farhash apabila beliau masih gagal menempatkan namanya dalam kerusi calon Naib Presiden yang ditandingi bekas Pengerusi PKR Perak itu.
Meskipun tindakan tersebut dilihat wujud kem tertentu di dalam PKR, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali menafikan dua puak dan menegaskan hanya satu kem sahaja iaitu Keluarga PKR sahaja.
Hakikatnya setiap ahli yang bertanding sama ada di peringkat MPP, jawatankuasa Wanita PKR dan AMK perlu mempunyai satu semangat iaitu mengangkat agenda reformasi parti yang memasuki usia 23 tahun.
Selain itu, pendokong agenda reformasi perlu sedar dengan melihat kelebihan regu Anwar-Rafizi dilihat mampu mencetuskan semangat baharu apabila kedua-dua mempunyai pengaruh sendiri bagi menaikkan imej parti yang kian malap setelah dibadai Langkah Sheraton di samping kekalahan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Tidak dinafikan PKR mampu menjulang pentas politik Malaysia sekiranya populariti Anwar-Rafizi mampu mengugat parti lain-lain seperti Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, akhirnya memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan untuk menguasai Putrajaya dalam PRU15.
Namun segalanya bergantung kepada ahli-ahli PKR sendiri sama ingin bersatu hati menyusun strategi dan akhirnya mengulangi sejarah PRU14 atau terus berpecah seperti mana dilalui mereka selama ini. – UTUSAN










