PKR: Perkukuh kedudukan dalam PH atau sertai ‘khemah besar’

PKR bincang hala tuju: Perkukuh kedudukan dalam PH atau sertai ‘khemah besar’

MOHD. NAJWAN HALIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kongres Nasional PKR KE-16

SHAH ALAM: Penentuan hala tuju PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sama ada memperkukuh kedudukan dalam Pakatan Harapan (PH) atau menyertai ‘khemah besar’ menjadi tumpuan dalam Kongres Nasionalnya yang berlangsung mulai hari ini hingga Ahad.

Ini kerana, hala tuju ber­kenaan didakwa mencetuskan polemik dalam kalangan akar umbi sekiranya tidak dimuktamadkan sebelum melangkah ke pilihan raya yang dijangka berlaku pada bila-bila masa.

Calon Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Mohd. Najwan Halimi berkata, perwakilan dan pimpinan yang hadir dalam Kongres Nasional Keadilan Ke-16 hari ini diharapkan me­langkah sebagai satu pasukan bersatu membawa tema dan perbahasan bernas serta berkait isu rakyat.

“Apakah kita punya konsensus, maksudnya dalam PRU nanti kita akan bertanding sebagai PH atau PH Plus, ataupun khemah besar.

“Kita harap kongres ini dapat mencapai satu resolusi muafakat dalam kalangan semua perwakilan untuk kita pacu PKR dan PH dalam PRU nanti.

“Apa naratif ataupun agenda hendak membentuk satu yang disebut rakan kita sebagai khemah besar ataupun kita hendak bergerak dalam kekuatan PH seperti sekarang ini. Perkukuhkan PH terus ataupun (khemah besar),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Malah, Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Kota Anggerik itu turut menganggap perkara tersebut penting dalam kala­ngan anggota parti terutama apabila Timbalan Pre­siden, Rafizi Ramli yang baharu di­pilih, dengan tegas menolak konsep khemah besar.

“Tetapi, sebilangan pimpinan ada juga yang agak terbuka de­ngan konsep ini, jadi mungkin diharapkan akan ada ke­sepakatan atau resolusi terhadap isu ini. Sebelum melangkah ke pilihan raya, biar jelas, mana kita hendak tuju,” tegasnya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor itu menjelaskan, PKR tidak boleh bergerak solo untuk mendepani PRU15.

Menurutnya, sejarah membuktikan tidak ada mana-mana parti politik boleh berge­rak secara solo termasuk UMNO yang memerlukan Barisan Nasional (BN) untuk menang pilihan raya.

“Begitu juga dengan Bersatu yang ada PN, jadi kalau PH khususnya PKR, kita memang mendukung agenda PH kerana PH adalah da­ripada Pakatan Rakyat yang memang rumah kita dan menjadi salah satu komponen bersama Amanah dan DAP.

“Bagi saya, kita tidak akan ke arah bergerak solo, sebaliknya bagaimana hendak memperkukuhkan PH ataupun mengembangkan konsep pembangkan bersatu dalam konteks khemah besar seperti dilaungkan pe­mimpin-pemimpin lain,” ujarnya.

Kongres berlangsung bermula hari ini de­ngan menyaksikan persidangan dua sayap utama parti iaitu Wanita dan AMK yang berjalan serentak untuk memilih 50 perwakilan masing-masing ke Kongres Nasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN