PETALING JAYA: Minyak masak tidak bersubsidi memerlukan tempoh masa sehingga 10 bulan bagi membolehkan kadar harga bekalan itu stabil.
Sumber industri berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penurunan harga bekalan itu boleh dicapai, tetapi bukan dalam keadaan serta-merta.
Katanya, ini kerana harga bekalan itu tetap bergantung sepenuhnya kepada harga komoditi minyak masak di pasaran.
“Namun, sekarang adalah correction time untuk minyak masak di Malaysia sebab minyak masak bergantung kepada harga komoditi.
“Oleh itu, harga naik sebelum ini sebab Indonesia hentikan eksport (minyak sawit), jadi negara luar lebih memilih negara ini dan sekarang mula turun apabila Indonesia buka semula eksport itu.
“Tetapi kita menganggarkan tempoh dalam lapan hingga 10 bulan untuk stabil dengan penurunan secara berperingkat, tetapi masih 100 peratus bergantung kepada harga komoditi minyak masak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan menjangka harga minyak masak tidak bersubsidi turun dalam tempoh dua minggu susulan penurunan harga minyak sawit mentah di pasaran dunia.
Kadar harga minyak sawit mentah (MSM) di pasaran menunjukkan trend peningkatan yang ketara sebelum ini dengan lebih RM6,000 satu tan pada Jun lalu, namun mula merosot kepada RM4,838.50 satu tan pada 1 Julai dan RM3,934 satu tan pada 6 Julai.
Harga purata bulanan buah tandan segar (BTS) sawit juga dilaporkan mula melepasi paras RM1,000 satu tan bermula pada Oktober 2021 dan kekal hingga Jun lalu, namun ketika ini berlegar di antara RM600 hingga RM800 satu tan susulan penurunan harga MSM.
Sehubungan itu, pengilang digesa menurunkan harga minyak masak tidak bersubsidi sekurang-kurangnya 10 peratus dalam tempoh seminggu atau dua minggu dari sekarang.
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan berpegang kepada prinsip untuk sentiasa melakukan libat urus dengan pihak industri termasuk pengilang, justeru memerlukan kerjasama pengilang bagi membantu kerajaan dalam menangani masalah kos sara hidup rakyat.
Dalam pada itu, sumber juga mengingatkan, sebarang harga komoditi di pasaran juga boleh memberi kesan kepada peladang.
“Harga komoditi minyak masak naik, peladang kecil jual buah sawit hasil pendapatan naik, tetapi pengguna beli mahal.
“Namun, jika harga komoditi minyak masak turun, peladang kecil jual buah sawit hasil pendapatan berkurangan dan pengguna beli murah,” jelasnya.
Justeru, beliau mengharapkan langkah yang sewajarnya diambil dalam membantu pengguna dan dalam masa sama tidak memberi kesan kepada peladang. UTUSAN










