Perkeso tawar 55,000 peluang kerja - Utusan Malaysia

Perkeso tawar 55,000 peluang kerja

Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Datuk Aziz Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yakin dapat memenuhi mandat kerajaan untuk menyediakan 55,000 peluang pekerjaan kepada golongan rentan melalui Program Jamin Kerja-Insentif Penggajian (JKIP) yang dilanjutkan sehingga hujung tahun ini.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohamed berkata, sasaran tersebut untuk menyokong matlamat program di bawah Bajet 2022 untuk mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan sepanjang tahun ini.

Menurut beliau, melalui peruntukan sedia ada untuk JKIP iaitu sebanyak RM2 bilion, sebanyak RM475 juta akan disalurkan oleh Perkeso sebagai insentif kepada majikan yang mewujudkan peluang pekerjaan dan me­lakukan pengambilan seramai 55,000 pekerja.

“Lanjutan program ini akan memberikan tumpuan kepada usaha pengambilan pekerja dari sektor pelancongan, pekerja yang menggantikan pekerja asing iaitu program Malaysianization, Orang Kurang Upaya (OKU), wanita dan pekerja yang kehilangan pekerjaan.

“Malah, untuk sepanjang tempoh pelanjutan JKIP ini, syarat permohonan dan kadar insentif kepada majikan serta bantuan mobiliti kepada pekerja yang diambil, kekal seperti syarat dinyatakan sebelum ini,” kata beliau pada sidang media di Menara Perkeso di sini semalam.

Program JKIP

Pada 25 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan Ekspo Kerjaya Jamin Keluarga Malaysia mengumumkan program JKIP yang tamat tempoh pada 30 Jun lalu dilanjutkan.

Mengulas mengenai ekspo tersebut, Mohammed Azman berkata, pamerab lima hari itu dihadiri 14,000 pengunjung, terdiri dari pelbagai peringkat iaitu lepasan sekolah, graduan, penganggur dan pekerja yang ingin mengembangkan kerjaya.

Jelasnya, ekspo yang dianjurkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Perkeso itu merupakan karnival kerjaya terbesar sehingga diiktiraf daripada Malaysia Book of Records apabila program itu diikuti lebih 1,000 majikan dari pelbagai industri.

“Ekspo tersebut sudah mencipta kejayaan apabila sebanyak 1,712 individu berjaya mendapatkan peluang pekerjaan dan seramai 10,698 pencari kerja berjaya ke peringkat temu duga kedua.

“Majikan yang turut serta juga menawarkan lebih daripada 30,000 peluang pekerjaan di ekspo tersebut, ia juga memberi peluang kepada pencari kerja untuk menceburi sektor gig dan keusahawanan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya