KUALA TERENGGANU: Jabatan Tanah dan Galian (PTG) Terengganu memberi amaran tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang degil mendulang emas secara haram di Lubuk Mandi, Rusila, Marang dekat sini.
Timbalan Pengarah (Pembangunan) PTG Terengganu, Adnan Abdullah berkata, tindakan tersebut akan diambil ke atas individu terlibat kerana aktiviti mendulang emas di kawasan itu tidak dibenarkan oleh kerajaan sejak 1990.
Menurut beliau, kawasan tersebut pernah diwartakan sebagai kawasan melombong secara mendulang pada 1 Disember 1988.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan terpaksa menarik balik kebenaran tersebut berikutan beberapa individu maut selepas tertimbus di dalam lubang yang digali untuk mencari emas.
“Mereka yang melakukan kesalahan tersebut boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 153 dalam Enakmen Mineral (Terengganu) 2002,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan kejadian mangsa tertimbus ketika melombong emas di Lubuk Mandi, Rusila lebih 30 tahun lalu tidak menakutkan penduduk setempat untuk terus mendulang emas di kawasan itu.
Sunyi
Bagaimanapun, suasana di kawasan itu yang suatu ketika dahulu sibuk kini sunyi apabila tidak lagi menjadi tumpuan ramai.
Tinjauan di kawasan lembah itu semalam mendapati, kira-kira enam penduduk tempatan masih menjalankan kerja-kerja mendulang.
Sementara itu, hampir keseluruhan tanah kawasan tersebut berlubang-lubang akibat aktiviti perlombongan sebelum ini yang dijalankan secara tidak terkawal.
Selain itu, beliau memberitahu, anggota penguat kuasa PTG Terengganu dan Pejabat Tanah dan Daerah Marang akan meningkatkan pemeriksaan bagi mengesan individu yang masih mendulang.
Bagaimanapun, katanya, difahamkan jumlah pendulang berkurangan selepas kerajaan mengharamkan aktiviti tersebut.
“Sebelum ini tiada tangkapan terhadap individu yang mendulang emas, sebaliknya mereka diarah supaya menghentikan kerja-kerja berkenaan,” ujarnya.
Pada masa ini, tambahnya, PTG Terengganu mengeluarkan lesen melombong emas kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Perkaya Holdings Sdn. Bhd. serta sebuah syarikat pelombong melibatkan kawasan keseluruhan seluas 342 hektar.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga ada mengeluarkan satu lesen melombong emas kepada pemilik tanah individu yang dikenali lesen melombong tuan punya.- UTUSAN










