Penduduk tak tolak kemungkinan kehilangan Zulhelmi ada unsur mistik - Utusan Malaysia

Penduduk tak tolak kemungkinan kehilangan Zulhelmi ada unsur mistik

LALUAN masuk ke dusun kes kehilangan seorang lelaki sejak lima hari lalu di atas bukit sekitar Sungai Batu Pahat, Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penduduk di sekitar kawasan Sungai Batu Pahat di sini tidak menolak kemungkinan kehilangan seorang lelaki, Zulhelmi Abdul Halim, 28, sejak 8 Julai lalu mempunyai kaitan dengan unsur mistik.

Seorang penduduk dikenali sebagai Sobri, 45, berkata, sebelum ini, terdapat beberapa kes kehilangan pernah dilaporkan di sekitar kawasan itu namun kebanyakan mangsa berjaya ditemukan dengan selamat.

Katanya, di dalam hutan seperti itu, tidak mustahil pelbagai perkara boleh berlaku termasuk melibatkan unsur-unsur mistik.

“Bila masuk kawasan hutan, macam-macam boleh berlaku dan disebabkan itu tak mustahil jika kehilangan ini ada kaitan dengan mistik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, Zulhelmi dipercayai hilang selepas keluar menebas bagi membersihkan sebuah dusun durian yang terletak di atas bukit sekitar Sungai Batu Pahat pada 8 Julai lalu.

Difahamkan dua rakannya turut terkandas selama satu malam selepas melakukan usaha pencarian mangsa semalam dan berjaya ditemukan dengan selamat pada hari ini.

Dalam pada itu, seorang pekebun, Abdul Latif Hussin, 59, berkata, kawasan berkenaan sememangnya kerap menjadi laluan penduduk setempat untuk ke dusun diusahakan mereka.

Menurut Abdul Latif, keadaan dusun yang berbukit dan diliputi hutan tebal itu akan mengundang kesukaran buat mana-mana pihak yang tidak biasa dengan laluan tersebut.

“Sebelum ini ramai pihak yang terkeliru dengan laluan di dalam kawasan ini malah kedudukannya juga tidak jauh dengan sempadan Thailand,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN