JELI : Seorang pemuda ditemukan selepas dihanyutkan arus semasa sedang mandi-manda di Lata Renyuk, di sini pagi tadi.
Mangsa Izham Mohamad Saupi, 24, dari Kampung Baru Lubok Stol, Rantau Panjang ditemukan lemas pada pukul 12.10 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Jeli Superintendan Ahmad Ariffin berkata, mayat pemuda berkenaan ditemukan sendiri oleh bapanya Mohamad Saupi Yusuf yang terus bertindak mencari mangsa selepas dikhuatiri lemas.
“Sekitar pukul 11.40 pagi mangsa dikatakan telah turun ke dalam air untuk mandi-manda.
“Kira-kira 10 minit berselang, Saupi telah melihat anaknya itu sudah tenggelam di dalam tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad memberitahu, Mohamad Saupi bersama anak-anaknya yang lain telah berusaha untuk menyelamatkan mangsa namun arus terlalu kuat menyebabkan pemuda itu telah tenggelam.
Katanya, sejurus ditemukan pemuda itu telah dibawa ke Hospital Jeli untuk proses bedah siasat.
“Sebelum kejadian mangsa bersama 10 ahlinya keluarganya telah datang ke kawasan berkenaan untuk berkelah pada pukul 9 pagi,” ujarnya. –UTUSAN