Pemeriksaan rutin bawa senjata rentas sempadan - Polis Johor - Utusan Malaysia

Pemeriksaan rutin bawa senjata rentas sempadan – Polis Johor

PASUKAN polis dan kastam melakukan pemeriksaan rutin terhadap pergerakan keluar senjata api dan peralatan berkaitan di BSI, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan bahawa beberapa keping gambar pemeriksaan terhadap senjata api di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) adalah rutin yang dijalankan pihaknya.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pemeriksaan terhadap senjata api, amunisi atau peralatan berkaitan senjata api adalah mengikut surat kelulusan lesen interim oleh Ketua Polis Negara.

Sehubungan itu, pihaknya akan bertindak tegas terhadap pihak-pihak yang membuat kenyataan tidak benar tentang perkara tersebut.

“Pemeriksaan itu dibuat antara pukul 2.30 hingga 4.30 petang semalam oleh sepasukan polis yang diketuai Pegawai Turus Pelesenan Kontinjen Johor.

“Pemeriksaan dibuat ke atas sebuah treler dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di laluan lori (keluar) Malaysia-Singapura, BSI, di sini.

“Senjata api, peluru dan peralatan diperiksa bagi tujuan kelepasan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk masuk ke Singapura selepas latihan ketenteraan selesai bersama-sama pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, tular dalam media sosial rekod rakaman suara seorang lelaki berdurasi 18 saat yang mendakwa ada pihak cuba membawa masuk senjata api dari Singapura ke Malaysia di Tambak Johor.

Rakaman suara berkenaan turut disertakan dengan beberapa keping gambar memaparkan pemeriksaan senjata api sedang dilakukan oleh pihak polis dan kastam.

Kamarul Zaman menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya apa yang ditularkan dan bertindak menyemak dahulu kesahihan maklumat tersebut.

“Polis Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggung jawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita tidak sahih,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya