Pembinaan IQS Pagalungan perketat keselamatan di pintu sempadan

Pembinaan IQS Pagalungan perketat keselamatan di pintu sempadan negara

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pembangunan Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Pagalungan akan membolehkan pintu masuk ke negara ini lebih terkawal.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, apabila kompleks itu siap dibina, kemasukan individu yang keluar dan masuk melalui Pagalungan dapat direkodkan.

“Kita tidak mahu orang daripada seberang sana masuk tanpa dokumen yang sah. Kita mempunyai masalah besar di Sabah kerana sudah terdapat ramai pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Maka, kita tidak mahu pintu masuk ke negara kita mudah untuk orang luar keluar masuk hingga menyebabkan penambahan mereka yang tanpa dokumen di Sabah.

“Itu antara tujuan pembinaan kompleks bersepadu ini agar segala rekod keluar dan masuk ke Sabah didaftarkan kerana pendataan ini amat mustahak,” katanya selepas lawatan tapak ICQS Pagalungan hari ini.

Menurut beliau, pembinaan ICQS akan dilakukan sebaik sahaja proses pengambilan tanah seluas 65 ekar selesai.

Selepas proses pengambilan tanah dilakukan, tender akan dibuka bagi membolehkan projek pembinaan itu dimualakan segera. Jika selesai isu tanah pada tahun ini, pembinaan juga boleh dimulakan pada tahun ini.

Melalui tinjauan helikopter sebentar tadi, beliau melihat pembinaan kompleks sebegitu di kawasan Indonesia telah pun bermula.

Beliau berkata, ICQS itu bukan hanya berperanan untuk mengawal pintu masuk negara tetapi juga, sebagai pusat sehenti untuk memudahkan penduduk pedalaman Sabah membuat laporan tentang kelahiran bayi mahupun kematian ahli keluarga.

Kemudahan balai polis di sini akan dipertingkatkan, bukan hanya menerima laporan jenayah tetapi juga bertindak sebagai Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengesahkan laporan kelahiran dan kematian.

Langkah ini diambil bagi memudahkan mereka membuat pasport antarabangsa kerana penduduk di pedalaman ini berdepan kesukaran untuk membuat dokumentasi.

“Kita tidak akan meninggalkan mereka yang jauh pedalaman begitu saja. Ini peluang untuk membangunkan kawasan ini supaya mereka yang tinggal di pedalaman mempunyai peluang untuk membangunkan aktiviti ekonomi mereka.

“Kita mahu memastikan kawasan pintu masuk negara menjadi tempat pertumbuhan ekonomi pada masa akan datang,” katanya. 

Dalam majlis berasingan di Kemabong, Tenom Hamzah berkata, menerusi program ‘Kita demi negara’, kementeriannya memberi kefahaman kepada orang ramai tentang kejelasan sijil kelahiran agar ia memudahkan proses pemberian taraf kewarganegaraan kepada rakyat tempatan di pedalaman.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN