PASIR PUTEH: Tindakan seorang pembantu kedai memaki anggota polis menggunakan kata-kata kesat mengundang padah apabila ditahan dalam Op Pematuhan di jalan belakang sebuah stesen minyak, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, suspek yang berusia 27 tahun turut bertindak menuduh anggota bertugas mengambil rasuah dan mencari wang dengan mudah selepas tidak berpuas hati terhadap saman yang dikeluarkan.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, semasa ditahan suspek telah melakukan tiga kesalahan lalu lintas iaitu mengabaikan isyarat lalu lintas, lesen kenderaan tamat tempoh dan tiada insuran perlindungan.
“Sebaik sahaja saman dikeluarkan ke atasnya, suspek telah melemparkan kata-kata tuduhan berbunyi ‘mudahnya polis cari pitih air (duit rasuah)’ dan ‘bodoh’ selepas penerangan berkaitan dijelaskan anggota bertugas.
“Suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit di Taman Sri Aman, di sini kemudian ditahan dan dibawa ke IPD Pasir Puteh bersama motosikal miliknya untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Zaizul Rizal memberitahu, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine namun tiada rekod kesalahan narkotik lampau ditemui.
Katanya, polis turut menjalankan siasatan lain membabitkan kes penagihan dadah dibawah Sek.15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek akan direman untuk siasatan lanjut mulai hari ini.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan individu yang cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang cuba mencabar pihak polis,” ujarnya. – UTUSAN