IPOH: Pemandu treler yang ditahan reman bagi membantu siasatan nahas membabitkan tujuh kenderaan hingga mengorbankan empat beranak di Kilometer 277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan Rabu lalu, dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 34 tahun itu telah diberi jaminan polis pada pukul 10.45 pagi, hari ini.
“Lelaki itu sebelum ini direman tiga hari berakhir hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kertas siasatan berkaitan kes berkenaan akan diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Rabu lalu empat beranak dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur itu maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah treler dari arah belakang.
Mangsa yang maut merupakan pesara polis, Koperal Rahim Ramli, 60, bersama isteri, Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak mereka, Nor Nadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.
Mior Faridalathrash dalam kenyataannya sebelum ini berkata, suspek yang ditahan pada hari kejadian mempunyai 13 saman kesalahan trafik.
Katanya, kesemua kesalahan itu direkodkan sejak 2008 hingga 2021 di mana tiga daripadanya membabitkan kemalangan jalan raya. – UTUSAN










