Pemandu Toyota Hilux tular guna lorong kecemasan disaman - Utusan Malaysia

Pemandu Toyota Hilux tular guna lorong kecemasan disaman

TANGKAP layar rakaman video berdurasi hampir dua minit menunjukkan sebuah Toyota Hilux berwarna putih dipandu secara laju dan berbahaya di lorong kecemasan lebuh raya dari Sungai Dua menghala ke Bertam, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda yang tular kerana memandu di lorong kecemasan bermula dari Sungai Dua hingga ke Kepala Batas di sini semalam akhirnya disaman atas kesalahan berkenaan hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, suspek lelaki berusia 47 tahun itu disaman selepas hadir ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) SPU, di sini pukul 9 pagi tadi.

Katanya, lelaki itu tiba bersama kenderaannya untuk memberi keterangan lanjut selepas rakaman video mengenai insiden itu tular di Facebook sejak pagi semalam.

“Dia kemudian dikenakan tindakan saman di bawah Kaedah 53(1) Kaedah–kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 atas kesalahan memandu di lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam rakaman video berdurasi hampir dua minit itu, suspek yang membawa kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna putih dilihat memandu secara berbahaya dan agak laju di lorong berkenaan.

Rakaman video itu kemudian tular selepas dimuat naik ke dalam laman Facebook DashCam Owners Malaysia.

Siasatan lanjut polis mendapati, kejadian tersebut berlaku di Kilometer (KM) 129.0, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Sungai Dua di sini.

Dalam pada itu, Mohd. Radzi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas sedia ada bagi mengelakkan dikenakan tindakan demi menjaga kepentingan awam.

“Dalam hal ini, tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN