Pemandu Myvi tak mengaku salah sebabkan kematian pasangan suami isteri - Utusan Malaysia

Pemandu Myvi tak mengaku salah sebabkan kematian pasangan suami isteri

AMIRUL Anwar Mohamed diiring keluar selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu kenderaan secara melulu di Mahkamah Majistret, Jasin, Melaka. UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Pemandu kereta Perodua Myvi yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) terbunuh dalam nahas bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Amirul Anwar Mohamed, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Siti Khairiah Abdul Razak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik didakwa memandu kenderaan secara melulu atau dengan berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya, Surayah Muhamat, 46.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 7.45 pagi di Jalan Serkam Pantai-Merlimau, Jasin pada 6 Jun 2022.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000 mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 1999).

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dikenakan dan syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Tertuduh yang diwakili Peguam Mohd. Fadzlullah Ramlee bagaimanapun merayu jumlah jaminan berkenaan dikurangkan dengan alasan tertuduh perlu menjaga bapanya, yang merupakan bekas imam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM12,000 dengan dua penjamin serta mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sepanjang perbicaraan berjalan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 29 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Terdahulu, Utusan Malaysia pada 6 Jun lalu melaporkan, sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu lelaki mabuk di Jalan Serkam Pantai di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Ego Solaris meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya