PETALING JAYA: Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta yang dilihat memandu secara berbahaya dan berlagak samseng dalam kejadian buli jalan raya di Jalan Taman Selayang Jaya, Selayang, di sini.
Kejadian itu turut tular dalam media sosial melalui video berdurasi satu minit 14 saat.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata menerusi rakaman video itu, kelihatan sebuah kereta Perodua Myvi dipandu secara melulu dan berbahaya.
Katanya, kenderaan itu dilihat memotong dan membrek secara mengejut beberapa kali di hadapan kenderaan dipandu perakam video.
“Berikutan itu, satu laporan polis dibuat dan usaha mengesan suspek serta pemilik rakaman video dashcam sedang dijalankan.
“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.
Jelasnya, disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.- UTUSAN










