KLANG: Seorang pemandu lori mengaku bersalah merempuh lapan buah kereta pada 8 Julai lalu di Mahkamah Majistret Klang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, lelaki berkenaan bagaimanapun dibenarkan ikat jamin oleh mahkamah sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan jatuh hukum pada 12 September ini.
Terdahulu, polis menyiasat satu kemalangan di Jalan Beringin, Pelabuhan Klang melibatkan sebuah lori merempuh deretan lapan kereta kira-kira pukul 9.40 malam.
Kata Hoong Fong, siasatan mendapati pemandu lori terbabit hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian sebelum merempuh kereta yang terletak di bahagian kiri jalan.
“Pemandu lori tampil membuat laporan polis pada hari sama kira-kira pukul 11.46 malam. Ujian pernafasan dilakukan terhadap pemandu lori tersebut dan didapati kandungan alkohol melebihi had yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sabit kesalahan, pemandu terbabit boleh dipenjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM30,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun. – UTUSAN









