AMPANG: Tindakan seorang pemandu lori dan rakannya memecah masuk sebuah premis dan mencuri besi scrab bernilai RM3,000 terbongkar apabila mereka ditahan polis di Jalan 5/20, Pandan Indah, di sini kelmarin.
Penahanan kedua-dua suspek berusia 35 hingga 39 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 7.30 malam selepas satu laporan polis dibuat pemilik premis.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, satu laporan diterima pihaknya pada 18 Julai lalu yang dibuat seorang pemilik premis di Jalan Merdeka Ria, Kampung Baru Ampang mengenai kejadian pecah masuk.
Kata beliau, pemilik premis berkenaan menyedari pintu ‘shutter door’ belakang premisnya dalam keadaan terbuka separuh ketika dia berada di premisnya kira-kira pukul 9.30 pagi.
“Pengadu seterusnya membuat pemeriksaan mendapati pintu berkenaan telah diumpil dan seterusnya membuat pemeriksaan barangan mendapati beberapa besi scrab telah hilang dipercayai telah dicuri.
“Susulan daripada laporan itu, kita telah mengenal pasti suspek terlibat sebelum melakukan tangkapan,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mohamad Farouk, semakan rekod jenayah lampau dapati suspek pertama mempunyai sepuluh rekod jenayah manakala suspek kedua pula mempunyai lapan jenayah tidak dikehendaki.
“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini.
“Pihak polis juga telah membuat rampasan beberapa jenis besi bersama lori yang digunakan serta peralatan pecah rumah dalam milikan suspek,” ujarnya.
Tambah beliau, kedua-dua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun keseksaan kerana melakukan kesalahan pecah rumah/premis dengan melakukan pencerobohan dalam bangunan bagi tujuan melakukan curi.
“Pihak polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa apa perbuatan melakukan pecah rumah atau premis,” katanya. – UTUSAN